Remaja 15 tahun antara 23 ditahan kes bunuh di Sibu

Facebook
WhatsApp
KETUA Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad.

SIBU, 12 November: Seramai 14 lagi individu ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan maut yang mengorbankan seorang lelaki akibat kecederaan tikaman di dada di sini, 7 November lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini meningkat kepada 23 orang.

Menurutnya, sebelum ini polis telah menahan sembilan suspek, sebelum berjaya mengesan dan menahan 14 lagi individu menerusi risikan serta tindakan susulan di beberapa lokasi sekitar bandar ini.

“Kesemua 23 suspek berusia antara 15 hingga 42 tahun telah dibawa ke mahkamah dan perintah reman selama enam hari sehingga 18 November ini telah diluluskan bagi membantu siasatan lanjut. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Zainal menegaskan, polis akan meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti peranan serta penglibatan setiap suspek dalam kejadian berkenaan.

“Orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kes berkenaan.

“Kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan amat dihargai bagi membantu siasatan,” katanya.

Oleh Akun Giman