AGC bantah permohonan Badan Peguam Malaysia cabar tahanan rumah Najib

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR, 12 November: Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan di rumah.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi S. Indra Nehru hari ini bahawa AGC menerima permohonan Badan Peguam menerusi e-mel dua hari lepas dan memerlukan masa untuk menelitinya sebelum memfailkan hujahan bertulis.

“Sudah tentu, Peguam Negara membantah permohonan kebenaran ini kerana keputusan dipertikaikan itu berkaitan dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan, yang tidak boleh diadili oleh mahkamah.

“Itulah pendirian yang akan kami ambil. Kita memerlukan lebih masa untuk memfailkan hujahan bertulis dan meneliti permohonan ini supaya bantahan dapat dikemukakan dengan sewajarnya. Saya dengan rendah hati memohon mahkamah memberikan masa kepada kami untuk memfailkan hujahan bertulis,” katanya ketika pendengaran permohonan kebenaran itu hari ini.

Sementara itu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya juga berhasrat memfailkan hujahan bertulis kerana sebarang keputusan mahkamah selepas kebenaran diberikan boleh menjejaskan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.

Peguam Zainur Zakaria yang mewakili Badan Peguam tidak membantah permohonan AGC dan peguam Najib untuk diberikan masa bagi memfailkan hujahan bertulis masing-masing.

Hakim Indra Nehru menetapkan 17 Mac tahun depan untuk mendengar permohonan itu dan mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis masing-masing selewat-lewatnya 14 Disember ini, manakala hujahan balas perlu difailkan sebelum atau pada 28 Disember.

Pada 10 November lepas, Badan Peguam memfailkan tindakan undang-undang baharu bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International menerusi tahanan di rumah.

Badan Peguam menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Penjara dan Najib sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Badan Peguam memohon deklarasi bahawa sebarang prosiding atau keputusan yang didakwa dibuat menurut Perkara 40 dan 42 Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah di sisi undang-undang serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk keputusan yang diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 18 September 2026 oleh responden kedua, yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya menerusi “tahanan rumah”.

Badan Peguam turut memohon perintah untuk membatalkan prosiding dan keputusan Lembaga Pengampunan, selain perintah supaya pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan serta-merta sekiranya kebenaran diberikan, sementara menunggu keputusan semakan kehakiman berkenaan.

Dalam afidavit yang diikrarkan Setiausaha Badan Peguam Malaysia Jayabalan Raman Kutty, badan itu menyatakan bahawa permohonan berkenaan melibatkan prinsip penting berkaitan hak perlembagaan dan hak asasi.

Badan Peguam berhujah bahawa tahanan rumah tidak termasuk dalam takrif pengampunan, penggantungan hukuman atau peremitan hukuman di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Jayabalan mendakwa Lembaga Pengampunan gagal mempertimbangkan sewajarnya faktor-faktor berkaitan, termasuk sabitan dan hukuman penjara dikenakan terhadap Najib dalam kes lain, beban kewangan akibat jenayah yang dilakukannya serta kesan terhadap keyakinan awam terhadap usaha membanteras rasuah.

Pada 10 November lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, berkuat kuasa serta-merta. – Bernama