Penolakan GST bukan soal politik, kerajaan mahu utamakan kebajikan rakyat – Anwar

Facebook
WhatsApp
PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR, 12 November: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian kerajaan untuk tidak memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bukan didorong pertimbangan politik, sebaliknya bagi memastikan sistem percukaian negara tidak membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pelaksanaan semula GST ketika pendapatan rakyat masih rendah bukan pilihan yang wajar kerana cukai itu bersifat menyeluruh dan berpotensi meningkatkan tekanan kos sara hidup.

Beliau, bagaimanapun berkata kerajaan terbuka untuk membuat penyesuaian terhadap sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada, termasuk menangani isu cukai berganda yang dibangkitkan pihak industri tanpa perlu beralih kepada GST.

“Saya bukan dogmatik dalam ekonomi. Sistemnya masih SST, tetapi satu dua penyesuaian supaya perbaiki sistem itu, baik. Mengapa kita tak mahu?

“Saya keras tak mahu GST. Bukan soal politik. Apa politiknya kalau menguntungkan ekonomi negara dan menguntungkan rakyat? GST itu cukai kepada semua. SST itu cukai kepada peniaga. Saya memilih untuk cukai kepada peniaga,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang ingin tahu sama ada keengganan kerajaan memperkenalkan semula GST berpunca daripada pendirian politik pemimpin kerajaan terdahulu dan bukannya pertimbangan ekonomi, termasuk isu cukai berganda di bawah SST.

Anwar berkata perbezaan utama antara kedua-dua sistem percukaian itu ialah GST dikenakan secara meluas kepada pengguna, manakala SST lebih tertumpu kepada peringkat perniagaan, meskipun sebahagian bebannya turut boleh dipindahkan kepada pengguna.

Beliau berkata pelaksanaan GST hanya boleh dipertimbangkan apabila pendapatan rakyat meningkat ke paras lebih tinggi, misalnya pendapatan minimum RM4,000, bagi memastikan cukai itu tidak terlalu membebankan golongan berpendapatan rendah.

Katanya tahap pendapatan rakyat ketika ini masih rendah, manakala usaha kerajaan meningkatkan gaji minimum turut berdepan tentangan daripada sebahagian pihak perniagaan.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan ramai wakil perniagaan besar dalam sesi dialog Belanjawan sebelum ini mencadangkan supaya GST diperkenalkan semula, namun beliau bimbang beban cukai itu akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna.

“Kalau tengok dalam perbincangan, semua tauke dan peniaga besar nak GST. Mesti ada alasan. Bagi dia mudah…cukai itu dialihkan, tak payah kena pada dia, kena di bawah. Itu saya punya masalah besar (tidak bersetuju).

“Janganlah bebankan rakyat. Kos sara hidup dan masalah-masalah lain. Itu sebabnya saya rayu supaya mereka faham mengapa GST tak boleh dilaksanakan sekarang,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai keberkesanan GST berbanding SST dalam mengawal percukaian sepanjang rantaian bekalan, Perdana Menteri mengakui bahawa sistem SST mempunyai kelemahan, termasuk kemungkinan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan, justeru pemantauan perlu dilaksanakan bagi melindungi pengguna.

Anwar berkata kelemahan dari segi pemantauan dan penguatkuasaan juga menjadi antara kebimbangan kerajaan terhadap pelaksanaan semula GST kerana ia berisiko meningkatkan beban pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah. – Bernama

GST: Rakyat tanggung beban cukai sepenuhnya

KUALA LUMPUR, 12 November: Mereka yang memperjuangkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebenarnya menyarankan supaya beban cukai dipindahkan