JSJN mohon 1,000 perjawatan perkukuh operasi bendung sindiket dadah

Facebook
WhatsApp
PENGARAH JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 11 November: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) memohon tambahan 1,000 perjawatan bagi memperkukuh kapasiti operasinya, termasuk penubuhan beberapa unit khas untuk menangani kegiatan sindiket pengedaran dadah yang semakin kompleks.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata permohonan itu telah dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan diluluskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bulan lepas.

Bagaimanapun, pelaksanaannya perlu diselaraskan dan dibincangkan terlebih dahulu dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kita perlukan kekuatan yang lebih kerana beberapa unit baharu perlu ditubuhkan seperti unit siasatan dalam talian yang memerlukan pemantauan, selain unit siasatan khas bagi kes yang melibatkan rangkaian antarabangsa.

“Begitu juga pasukan khas untuk memantau perkhidmatan kurier dan penyedia perkhidmatan, selain pasukan khas bagi memantau kegiatan pengedaran melalui kargo yang melibatkan kontena,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis apresiasi Bahagian Risikan dan Operasi JSJN di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali.

Hussein berkata kekangan anggota ketika ini menjadi antara faktor yang mengehadkan jumlah operasi JSJN.

Beliau turut menegaskan bahawa pertambahan anggota di peringkat daerah dan kontinjen mampu meningkatkan prestasi jabatan itu dalam memerangi kegiatan pengedaran dadah.

“Dalam tempoh 10 bulan ini, JSJN telah merampas hampir 70 tan dadah berbanding 89 tan sepanjang tahun lepas,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hussein berkata pihaknya sedang meneliti maklumat daripada pihak berkuasa Brunei dan Mauritius bagi mengenal pasti rangkaian sindiket serta sumber bekalan dadah yang melibatkan rakyat Malaysia yang ditahan di kedua-dua negara berkenaan.

Katanya, bagi kes di Brunei, seorang lelaki warga tempatan ditahan pihak berkuasa negara itu selepas disyaki menyeludup dadah dari Sarawak ke Sabah melalui laluan darat di negara jiran berkenaan.

“Pihak berkuasa Brunei telah berkongsi beberapa maklumat dengan kita untuk tindakan susulan bagi mengenal pasti dari mana dia memperoleh dadah dan siapa lagi yang terlibat dalam rangkaiannya,” katanya.

Mengenai kes di Mauritius, beliau berkata dua daripada individu yang ditahan merupakan pasangan suami isteri, manakala seorang lagi dipercayai direkrut untuk menyertai perjalanan itu menerusi tawaran pakej percutian.

“Mereka pergi ke Bangkok, mengambil dadah dan kita percaya dadah itu diambil untuk dihantar dari Bangkok ke Mauritius serta mengetahui apa yang dibawa,” katanya.

Ketiga-tiga rakyat Malaysia itu ditahan pihak berkuasa Mauritius pada 2 November lepas bersama kira-kira 76 kilogram (kg) ganja. – Bernama