Harga petrol, diesel tanpa subsidi turun bagi tempoh 12 hingga 18 November

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR, 11 November: Harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun sebanyak 50 sen, 40 sen dan 25 sen seliter bagi tempoh 12 hingga 18 November ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, harga RON97 ditetapkan pada RM4.20 seliter berbanding RM4.70 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi turun kepada RM3.87 seliter berbanding RM4.27 dan diesel tanpa subsidi kepada RM4.87 seliter berbanding RM5.12.

Pada masa sama, harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), manakala diesel bersubsidi kekal pada RM2.10 seliter menerusi program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).

Harga bahan api di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Menurut MOF, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.88 seliter bagi pengguna yang layak mendapatkan RON95 menerusi BUDI95, bersamaan kira-kira 49 peratus daripada harga RON95 tanpa subsidi semasa.

Bagi BUDI Diesel pula, subsidi yang ditanggung kerajaan ialah RM2.77 seliter atau 57 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau menurun dalam tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM), seiring dengan penyusutan harga minyak mentah dunia dan peningkatan bekalan bahan api bertapis di pasaran serantau.

“Walau bagaimanapun, selagi konflik di Iran belum mencapai penyelesaian, harga petroleum dunia kekal terdedah kepada turun naik ketara. Serangan terbaharu terhadap kapal tangki di Selat Hormuz menunjukkan risiko gangguan bekalan masih wujud,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOF, Kerajaan MADANI kekal komited melindungi rakyat dan perniagaan melalui pelaksanaan subsidi bahan api bersasar BUDI MADANI.

Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, subsidi bahan api dijangka kekal tinggi sekitar RM40 bilion pada tahun hadapan bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.

MOF memaklumkan, menerusi BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli RON95 dan diesel pada harga bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut MOF. – Bernama