KUCHING, 11 November: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengesahkan terdapat muka baharu dalam senarai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.
Presidennya, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, senarai nama calon GPS sudah diserahkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk pertimbangan dan keputusan akhir.
Menurutnya, keputusan pemilihan calon terletak pada Premier Sarawak selaku Pengerusi GPS yang akan menandatangani watikah rasmi calon.
“Memang ada muka baharu. Bagaimanapun, keputusan akhir terletak pada Premier Sarawak kerana beliau yang akan menandatangani watikah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong di sini, hari ini.
Dr Sim berkata, semua pihak perlu menunggu pengumuman rasmi sebelum membuat sebarang andaian mengenai calon yang bakal dipilih.
Beliau turut mengingatkan bahawa penyediaan poster dan bahan kempen lebih awal tidak menjamin seseorang individu akan menerima watikah sebagai calon.
Mengulas permohonan See Chee How, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang, untuk menyertai SUPP, Dr Sim berkata perkara itu bergantung kepada keputusan Premier Sarawak sebelum sebarang perbincangan lanjut dibuat oleh parti.
Beliau menjelaskan, SUPP akan membincangkan perkara itu selepas Premier Sarawak membuat keputusan berhubung senarai calon GPS dan memberikan hala tuju selanjutnya.
Beliau berkata, GPS sudah mempunyai mekanisme tersendiri dalam menentukan calon dan keputusan akhir akan dimaklumkan oleh Premier apabila tiba masanya.
Oleh Afiq Sallehi





