Pembinaan parit utama antara usaha atasi banjir kilat di Banting

Facebook
WhatsApp

LAWAS, 11 November: Cadangan pembinaan parit utama bagi mengalirkan air keluar dari kawasan perumahan Banting dikenal pasti antara langkah yang boleh dipertimbangkan bagi menangani masalah banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan itu.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa berkata, cadangan berkenaan bagaimanapun memerlukan penelitian lanjut kerana laluan parit yang dirancang perlu melalui beberapa bidang tanah milik penduduk.

Menurutnya, perkara itu memerlukan perbincangan dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk pemilik tanah serta jabatan dan agensi berkaitan, bagi mengenal pasti penyelesaian yang sesuai.

“Kita turun padang untuk melihat sendiri punca masalah di lapangan dan menyalurkan maklumat berkenaan kepada jabatan atau agensi bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya.

“Antara isu yang dikenal pasti ialah cadangan pembinaan parit utama bagi mengalirkan air keluar dari kawasan ini yang perlu melalui beberapa bidang tanah penduduk,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau kawasan perumahan berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, tinjauan itu bertujuan mengenal pasti masalah yang dihadapi penduduk secara langsung sebelum maklumat disalurkan kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan susulan.

Turut mengiringi beliau ialah Pegawai Pembangunan Pejabat Timbalan Premier Sarawak dan Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari.

Terdahulu, Awangku Jinal turut meninjau Madrasah Darul Ulom di Jalan Punang serta beberapa lokasi lain yang memerlukan perhatian jabatan dan agensi berkaitan.

Beliau berkata, pendekatan turun padang akan terus dilaksanakan bagi memastikan masalah rakyat dikenal pasti dan disampaikan kepada pihak bertanggungjawab untuk perhatian serta tindakan sewajarnya.

Katanya, kepimpinan kerajaan Sarawak di bawah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sentiasa mendekati rakyat dan tidak hanya berbuat demikian ketika musim perayaan.

Oleh Adeng Edrus