KABONG: Jawatankuasa masjid dan surau perlu mencari jalan terbaik bagi merancang aktiviti menarik untuk mengajak umat Islam terutamanya golongan belia di kawasan masing-masing hadir ke masjid dan surau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata jawatankuasa tersebut bukan sahaja perlu berkerjasama dengan golongan muda bagi memikir melaksanakan aktiviti menarik tetapi perlu lebih peka terhadap minat golongan belia pada masa kini.
Katanya, langkah itu mampu meluaskan fungsi dan peranan masjid dan surau sebagai pusat pengembangan ilmu serta budaya Islam.
“Usaha mengimarahkan masjid dan surau perlulah berterusan. Kita berharap lebih ramai golongan muda melihat kepentingan dan keperluan itu kerana mereka merupakan pewaris masa hadapan yang perlu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri ceramah khas sempena sambutan Maulidur Rasul 1443 Hijrah di Masjid Assabirin Kabong.
Beliau turut menyarankan jawatankuasa masjid dan surau menggunakan dana masjid yang disumbangkan bagi mengadakan aktiviti keagamaan dan program untuk menarik belia dan belawanis di kawasan tersebut.
“Kewujudan pelbagai teknologi canggih menyebabkan golongan belia amat terdedah untuk mencuba perkara baharu. Di sinilah peranan masyarakat dan ahli keluarga untuk membimbing belia kerana mereka adalah golongan yang mudah dipengaruhi.
“Tanpa adanya perhatian serta pengawasan, sudah tentu golongan ini mudah untuk terpesong ekoran gelodak jiwa muda.
“Sehubungan itu, golongan belia perlu dibantu oleh masyarakat untuk menjauhi perkara yang tidak bermanfaat dan penganjuran program bermanfaat perlu ditambah dari masa ke semasa. Guna dana yang sedia ada seperti tabung masjid untuk mengadakan program keagamaan,” tambahnya.
Jelasnya ini merupakan salah satu cara bagi mendekatkan generasi muda dengan masjid.
“Kita tidak mahu golongan belia menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab yang cuba merosakkan masa depan negara,” katanya.
“Sehubungan itu dia berharap masyarakat setempat dan pihak badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu menganjurkan program bermanfaat kepada golongan belia bagi mengisi ilmu di dada.
Jelasnya, hanya ilmu bermanfaat akan dapat membantu golongan belia untuk membuat pertimbangan positif dalam menentukan arah tuju dan menepis hasutan daripada pihak tidak bertanggungjawab.
Terdahulu, ceramah khas sempena sambutan Maulidur Rasul 1443 Hijrah itu telah disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan Peguam yang juga Bekas Ketua Pendakwa Syarie JAIS, Ustaz Norhaza Ahmad Reduan Abdullah.
Oleh ADI SAFARMAN