Disindir ‘Awang Tanah’, Awang Tengah jelaskan hak milik tanah diberi kepada rakyat yang ada bukti tuntutan

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan bercakap ketika ditemui pemberita di Dewan Suarah Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, 11 November: “Nama saya yang sudah cantik, Awang Tengah, dia buat Awang Tanah,” kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengenai gelaran yang diberikan kepadanya di Facebook.

Menurut beliau, sindiran itu tidak diambil hati kerana keutamaannya ialah memastikan tanah rakyat yang mempunyai hak dan bukti tuntutan disukat sebelum surat hak milik dikeluarkan.

“Dia panggil nama saya apa-apa pun saya tak kisahlah, itu yang menjadi matlamat dan kepentingan saya ialah mereka yang ada kepentingan, dia dapat surat hak milik, itu adalah menjadi satu kepuasan bagi saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6, Surat Hak Milik Tanah Seksyen 13 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak serta Cek Pampasan Tanah bagi Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.

Menjelaskan proses itu, Awang Tengah berkata, mereka yang mahu tanah disukat perlu membuat permohonan untuk diteliti Jabatan Tanah dan Survei sebelum diluluskan.

SESI Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6, Surat Hak Milik Tanah Seksyen 13 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak serta Cek Pampasan Tanah bagi Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan.

“Perbincangan bersama pihak terlibat kemudian diadakan bagi meneliti kawasan yang dituntut serta bukti yang dikemukakan sebelum kerja penyukatan diteruskan dengan persetujuan semua pihak.

“Peringkat pertama melibatkan pengukuran perimeter dan pengeluaran dokumen di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak, manakala pengukuran lot individu pada peringkat kedua juga berdasarkan permohonan.

“Kemudian kita jalankan kerja-kerja penyukatan dan kita minta mereka yang terlibat supaya berada di lapangan untuk menentukan sempadan-sempadan, kerana mereka yang lebih tahu,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan menanggung kos penyukatan, sementara surat hak milik di bawah Seksyen 18 mempunyai tempoh pegangan kekal tanpa bayaran premium dan cukai tanah.

Untuk rekod, majlis itu menyaksikan penyerahan 679 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak kepada 622 penerima serta 39 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 13 kepada 33 penerima dari Kampung Moyan Laut.

Oleh Masrin Affirah