KANOWIT, 10 November: Sebanyak RM9,000 disalurkan bagi membantu 24 keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda dalam kebakaran Rumah Panjang Rh Seliau, Sungai Tuah, di sini, semalam.
Sumbangan itu disampaikan oleh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah, Anyi Jana ketika mengadakan kunjungan ke rumah panjang berkenaan hari ini bagi menyantuni 99 penghuni yang terjejas akibat kejadian tersebut.
Daripada jumlah itu, Anyi menyalurkan sumbangan peribadi sebanyak RM7,000 yang merangkumi bantuan makanan bernilai RM2,000 serta wang tunai RM5,000.
Turut menyumbang ialah pihak Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Ngemah sebanyak RM2,000, menjadikan keseluruhan bantuan yang diterima mangsa berjumlah RM9,000.
Sumbangan berkenaan diharap dapat membantu keluarga terjejas mendapatkan keperluan asas, khususnya dalam tempoh awal selepas kehilangan kediaman dan harta benda akibat kebakaran.
Kebakaran yang berlaku kira-kira 1.30 pagi itu berjaya dikawal oleh pihak bomba sekitar 4.00 pagi, sekali gus menyebabkan 24 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas.
Kunjungan Anyi itu diadakan sejurus selepas beliau menghadiri Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Rakyat Sarawak (PRS)/Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN N.49 Ngemah.
Selain menyampaikan bantuan, kunjungan tersebut turut memberi peluang kepada beliau meninjau sendiri keadaan mangsa serta memahami keperluan keluarga yang terkesan susulan musibah berkenaan.
Sokongan dan kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan bagi membantu mangsa meneruskan kehidupan serta menjalani proses pemulihan selepas kehilangan tempat tinggal.
Oleh Tarani Lanting





