SPAOH, 10 November: Kerajaan negeri melalui pimpinan tempatan terus memperjuang nasib sekolah luar bandar apabila cadangan penggantian penuh bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Supa kini dikemukakan kepada pihak berwajib untuk perancangan segera.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam, menegaskan bahawa penaiktarafan infrastruktur ini amat penting bagi menjamin persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif buat murid-murid di kawasan berkenaan.

Beliau memaklumkan bahawa usul tersebut telahpun dibincangkan secara mendalam bersama Pengarah Pendidikan Sarawak serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong, dengan harapan ia diletakkan sebagai keutamaan pembangunan pendidikan masa kini.
“Keperluan menggantikan bangunan sekolah itu wajar diberi perhatian bagi meningkatkan kemudahan pendidikan di kawasan berkenaan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Khatam Al-Quran SK Supa di sini, dekat sini hari ini.
Sebagai perbandingan, Razi yang juga Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas itu turut merujuk kepada kejayaan projek penggantian penuh SK Tanjung Assam yang bernilai kira-kira RM40 juta dan dibangunkan semula di tapak asalnya sebagai penanda aras komitmen kerajaan terhadap infrastruktur sekolah.
Sementara itu, mengulas mengenai majlis keagamaan tersebut, beliau menyeru agar semua pihak gembleng tenaga dalam membentuk generasi muda yang soleh, pintar, dan berakhlak mulia menerusi penerapan nilai-nilai al-Quran yang kukuh dalam kehidupan seharian.
Oleh Adi Safarman





