KUCHING, 10 November: “Saya sebagai Pengerusi GPS, saya bertanding di semua 82 kerusi,” demikian jawapan berseloroh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN-13).
Jawapan spontan itu diberikan susulan pertanyaan wartawan mengenai kepentingan strategik Tanjung Embang yang bakal menjadi antara kawasan tumpuan pembangunan ekonomi baharu Sarawak.
Abang Johari berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Sesi Mesra: Aspirasi Anak Sarawak, Bicara Masa Depan Bersama-sama di sebuah hotel, hari ini.
Terdahulu, beliau diminta menjelaskan mengenai pelaburan SoftBank berjumlah AS$1.85 bilion untuk Malaysia, termasuk lebih AS$1 bilion yang diperuntukkan kepada Sarawak.
Menurutnya, kemudahan pemprosesan utama berkaitan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) akan ditempatkan di Tanjung Embang.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebuah kampus AI dirancang untuk dibangunkan di kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur teknologi negeri ini.
Tanjung Embang yang terletak dalam kawasan pentadbiran Bahagian Kuching dikenal pasti sebagai antara lokasi strategik dalam perancangan pembangunan ekonomi Sarawak, khususnya bagi menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi.
Bagaimanapun, jawapan berseloroh Abang Johari mengenai kesemua 82 kerusi DUN itu tidak memberikan sebarang pengesahan sama ada beliau akan bertanding di Demak Laut pada PRN-13.
Setakat ini, persoalan mengenai calon yang bakal mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi berkenaan masih belum terjawab menjelang pengumuman rasmi calon pilihan raya tersebut.
Penyandang kerusi DUN Demak Laut adalah Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Oleh Adele Rissa




