KUALA LUMPUR, 10 November: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 November lepas terhadap Najib, 73.

Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam penghakimannya, Aslam berkata beliau telah membaca perintah pengampunan bersyarat, bukti pembayaran penuh denda, perintah terdahulu dan dokumen lain yang berkaitan.
“Dengan ini, mahkamah membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 November 2026 dan digantikan sepenuhnya dengan perintah dalam permohonan.
“Selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat dalam kes SRC International Sdn Bhd, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di alamat No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta hingga 23 Ogos 2028,” katanya.
Najib, yang hadir di galeri awam memakai kurta biru dan ditemani anaknya, Nooryana Najwa dilihat tersenyum ketika mendengar keputusan itu.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian meninggalkan mahkamah untuk ke Penjara Kajang dengan diiringi oleh pegawai penjara.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib berkata Pendakwa Raya telah memfailkan permohonan agar Perintah Pelepasan atas Pembayaran Denda bertarikh 6 November lepas diketepikan atau dibatalkan.
Beliau berhujah Najib telah dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dan sekiranya ingkar atau gagal bayar, digantikan dengan hukuman penjara lima tahun.
“Kemudian pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan menerusi mesyuarat ke-61 memutuskan responden dilepaskan awal pada 23 Ogos 2028 dengan mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
“Selanjutnya pada 18 September 2026, semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 telah menitahkan pengampunan diraja diberikan kepada Datuk Seri Najib untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah dengan syarat beliau perlu membayar denda RM50 juta,” katanya.
Ahmad Akram berkata pada 6 November lepas, Najib telah membayar sepenuhnya denda sebanyak RM50 juta kepada mahkamah dan satu perintah pelepasan atas pembayaran denda dikeluarkan serta dialamatkan kepada pegawai Penjara Kajang.
“Perintah pelepasan tersebut adalah dalam bentuk borang yang normal bagi pelepasan atas pembayaran denda. Borang itu menyatakan bahawa responden telah membayar denda dan perintah tersebut juga merekodkan bahawa denda telah dibayar dan memberi kuasa kepada pihak penjara untuk melepaskan Datuk Seri Najib dengan serta-merta.
“Terma perintah pelepasan pada 6 November itu menganggap tahanan di rumah sebagai alternatif kepada pembayaran denda dan membenarkan pelepasan tanpa syarat terhadap responden setelah pembayaran dibuat. Ini akan membebaskan responden daripada baki hukuman kes SRC tersebut. Kandungan perintah pelepasan itu adalah bertentangan sama sekali dengan perintah pengampunan diraja.
“Pihak Pendakwa Raya menjunjung titah perintah pengampunan diraja tersebut dan berhasrat untuk melaksanakan sepenuhnya titah diraja itu,” katanya.
Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berhujah bahawa pihaknya memahami perintah yang dikeluarkan sebelum ini adalah berkaitan obligasi pembayaran denda.
Beliau berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak Penjara Kajang mengenai perkara itu dan mereka juga memahami maksud perintah berkenaan namun pelaksanaannya mengalami sedikit kelewatan.
“Pihak kami tidak mempunyai masalah dengan draf perintah berkenaan kecuali terdapat beberapa kesalahan kecil dari segi penulisan.
“Tahanan di rumah sepatutnya berkuat kuasa sebaik sahaja pembayaran denda dibuat dan tidak memerlukan satu lagi perintah khusus daripada mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, AGC memaklumkan bahawa pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ditangguhkan sehingga selesai penelitian dan penjelasan lanjut tentang tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi selepas denda RM50 juta dibayar.
Menurut AGC, sepanjang tempoh itu, Najib dikekalkan di tempat tahanan sedia ada (Penjara Kajang), tertakluk pada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.
Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International. – Bernama





