KUCHING, 10 November: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak akan mengumumkan perkembangan rundingan mengenai kemungkinan kerjasama dengan parti pembangkang lain di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 apabila tiba masa yang sesuai.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, pihaknya memerlukan beberapa hari lagi sebelum dapat berkongsi maklumat lanjut berhubung rundingan berkenaan.
“Saya akan memaklumkannya apabila tiba masa yang sesuai. Belum banyak maklumat buat masa ini. Berikan kami beberapa hari lagi,” katanya pada sidang media.
Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan bagaimanapun enggan mendedahkan parti yang terlibat dalam rundingan itu.
Beliau turut tidak memperincikan sejauh mana perkembangan perbincangan yang telah dijalankan, sambil menegaskan bahawa tiada maklumat lanjut dapat dikongsikan buat masa ini.
Oleh Connie Chieng




