BINTULU, 10 November: Sisa industri berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu kepada Sarawak menerusi penghasilan produk bernilai tambah, termasuk baja, bahan api penerbangan mampan (SAF), makanan haiwan dan hidrogen.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri mahu menggalakkan sektor perindustrian mengamalkan prinsip ‘Don’t Waste the Waste, Monetize the Waste’ bagi memaksimumkan nilai sumber dan mengurangkan pembaziran.
Menurutnya, sisa daripada sesuatu proses pengeluaran tidak seharusnya dianggap sebagai bahan buangan semata-mata, sebaliknya perlu diteroka potensinya untuk menghasilkan produk baharu menggunakan teknologi bersesuaian.
Beliau mengambil industri kelapa sawit sebagai contoh, apabila hasil sampingan pemprosesannya berpotensi dimanfaatkan untuk menghasilkan pelbagai produk selain minyak sawit.
“Kita bukan sahaja boleh menghasilkan minyak sawit, malah sisa pemprosesannya juga boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan baja, bahan api penerbangan mampan (SAF) dan makanan haiwan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Bintulu Sustainability Awards (BiSA) 2026 di Hotel Imperial, di sini, semalam.

Abang Johari berkata, hasil sampingan industri kelapa sawit turut mempunyai potensi untuk dimanfaatkan bagi menghasilkan hidrogen sebagai sumber tenaga baharu.
“Gas metana yang terhasil daripada sisa kelapa sawit mengandungi hidrogen. Jika kita mengumpulkan gas tersebut, kita boleh menghasilkan hidrogen daripada sisa berkenaan,” katanya.
Menurutnya, potensi tersebut membuktikan bahawa pengurusan sisa industri secara sistematik mampu membuka peluang ekonomi baharu, selain meningkatkan nilai sumber tempatan.
Sehubungan itu, beliau berkata, pendekatan simbiosis industri menerusi inisiatif Kluster Perindustrian Peralihan (TIC) turut diperkenalkan bagi menggalakkan kerjasama antara syarikat dalam perkongsian sumber dan penggunaan hasil sampingan pengeluaran.
Menerusi pendekatan itu, sisa daripada satu proses perindustrian boleh dimanfaatkan sebagai bahan mentah bagi proses pengeluaran lain, sekali gus meningkatkan kecekapan penggunaan sumber dan mengurangkan pembaziran.
Beliau berkata, usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Sarawak untuk memperkukuh pembangunan industri rendah karbon dengan memastikan pertumbuhan ekonomi negeri berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar.
Oleh Carolyne Utih





