Nancy nafi bakal bertanding kerusi DUN pada PRN Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy Shukri berkongsi pengalaman dan perjalanan politiknya ketika menjadi tetamu Podcast Borak Kenyalang.

KUCHING, 10 November: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri menafikan spekulasi kononnya beliau bakal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 12 Disember ini.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata, dakwaan berkenaan sekadar spekulasi meskipun mengakui khabar angin itu semakin kuat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

“Saya tidak fikir perkara itu benar. Bukan semudah itu kerana masih ramai individu lain dalam negeri ini yang boleh diketengahkan.

“Ada juga yang mengatakan mereka masih memerlukan saya di Parlimen dan tidak mahu membawa saya ke kerusi DUN. Saya anggap perkara ini sebagai khabar angin menjelang PRN, cuma kali ini spekulasinya agak kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Podcast Borak Kenyalang terbitan Utusan Sarawak bagi episod kelima di Studio Borak Kenyalang, di sini, semalam.

Ditanya sama ada Premier Sarawak pernah mendekatinya untuk membincangkan perkara itu, Nancy berkata perkara berkenaan tidak berlaku, sambil menjelaskan budaya politik di Sarawak mempunyai pendekatan tersendiri.

Bagaimanapun, beliau mengakui berminat sekiranya diberi peluang untuk bertanding di kerusi DUN pada masa hadapan, terutama kerana kawasan yang lebih kecil membolehkan wakil rakyat mendekati penduduk dengan lebih dekat.

Namun, katanya, beliau menerima hakikat bahawa usia semakin meningkat dan menyerahkan segala ketentuan mengenai perjalanan politiknya kepada Allah SWT.

Nancy menegaskan beliau akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira kedudukan atau kawasan yang diwakili.

Nancy, kini berusia 65 tahun, mula menceburi bidang politik pada 2006 selepas menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud.

Beliau kemudiannya dipilih sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008 dan berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dalam tiga pilihan raya umum berturut-turut sebelum bertanding di Parlimen Santubong pada PRU15 pada 2022.

Sepanjang penglibatannya dalam politik, Nancy turut memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Persekutuan, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Disember 2022.

Oleh Shahrul Qaizat