SIBU, 10 November: Tawaran pekerjaan bergaji lumayan di luar negara boleh bertukar menjadi perangkap sindiket jenayah antarabangsa apabila pencari kerja diperdaya sehingga dipaksa terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian.
Pengerusi Yayasan Pendidikan dan Kebajikan Asia Tenggara (SEAWEED) Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata golongan muda, khususnya lepasan sekolah, antara yang mudah terpedaya dengan tawaran gaji tinggi serta pelbagai kemudahan menarik yang diiklankan menerusi media sosial.
Beliau berkata mangsa lazimnya hanya menyedari bahawa mereka telah diperdaya selepas tiba di negara destinasi apabila pasport dirampas, pergerakan disekat dan mereka dipaksa melakukan pekerjaan yang sama sekali berbeza daripada tawaran asal.
“Apabila sudah berada dalam cengkaman sindiket, mangsa terpaksa mengikut arahan kerana bimbang keselamatan diri terancam,” katanya kepada Bernama.
Mengimbas kembali penglibatannya dalam usaha menyelamatkan 47 rakyat Malaysia, termasuk 40 warga Sarawak, yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja pada awal 2019, Mustapha berkata kes itu membuktikan bagaimana tawaran pekerjaan boleh dijadikan umpan untuk memperdaya mangsa.
Beliau berkata kumpulan berkenaan pada asalnya ditawarkan pekerjaan dalam sektor perhotelan bertaraf lima bintang dengan gaji AS$1,200 sebulan, selain kemudahan penginapan dan makanan.
“Sebaliknya, mereka akhirnya terlibat dalam kegiatan penipuan perjudian dalam talian sebelum ditahan polis Kemboja,” katanya.
Mustapha berkata mangsa berkenaan bernasib baik kerana tidak dibawa ke kawasan berhampiran sempadan yang menurutnya lebih sukar diakses bagi tujuan menyelamatkan mereka.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap risiko eksploitasi yang lebih serius, termasuk pemerdagangan manusia dan eksploitasi seksual, khususnya membabitkan mangsa wanita.
Sehubungan itu, Mustapha mengingatkan pencari kerja dari Sarawak supaya tidak menerima tawaran pekerjaan di luar negara tanpa terlebih dahulu mengesahkan kesahihan majikan, lokasi pekerjaan dan syarat kontrak yang ditawarkan.
Mustapha berkata pencari kerja perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Kementerian Luar Negeri, serta berbincang dengan ahli keluarga sebelum membuat sebarang keputusan.
“Jangan terlalu mudah percaya dengan tawaran gaji lumayan. Fikirkan soal keselamatan dan masa depan kerana peluang pekerjaan juga banyak tersedia di Sarawak dan Semenanjung,” katanya.
Mustapha, yang pernah berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sibu pada 1980-an, menerima sijil penghargaan atas penglibatannya dalam usaha menyelamatkan rakyat Malaysia dari Sarawak yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja.
Penghargaan itu disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing pada Malam Warisan Samudera: Gala Amal Veteran anjuran Persatuan Veteran TLDM Cawangan Sarawak di sini, Sabtu lepas. – Bernama





