KUCHING, 9 November: Kerajaan Sarawak akan mula menyalurkan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) Fasa 3 pada esok hari kepada 901,857 penerima yang layak, termasuk 26,979 penerima baharu.
Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Jabatan Premier Sarawak dalam satu kenyataan berkata, penerima baharu dikenal pasti berdasarkan tapisan data penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 Tahun 2026 mengikut kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, bantuan berkenaan akan dikreditkan terus ke akaun e-dompet S Pay Global penerima secara berperingkat.
Bagi Fasa 3, penerima sedia ada akan menerima bantuan sebanyak RM360 bagi kategori isi rumah, RM200 bagi warga emas dan RM125 bagi individu bujang.
Sementara itu, penerima baharu akan menerima jumlah bantuan penuh bagi tahun 2026, iaitu RM1,100 untuk kategori isi rumah, RM600 bagi warga emas dan RM375 bagi individu bujang.
Penyaluran SKAS tahun ini dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan Fasa 1 bermula pada 10 Mac, diikuti Fasa 2 pada 15 Mei, manakala Fasa 3 bermula esok.
Dalam pada itu, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 Tahun 2026 boleh membuat semakan kelayakan SKAS selepas kerajaan negeri menerima dan melengkapkan proses tapisan data berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
Status kelayakan boleh disemak menerusi laman web rasmi SKAS di sarawak.gov.my/skas.
Sehingga esok, seramai 783,603 penerima atau 89.5 peratus daripada keseluruhan penerima yang layak telah menebus bantuan berkenaan melalui e-dompet S Pay Global.
Sehubungan itu, semua penerima diingatkan supaya memastikan akaun S Pay Global masing-masing aktif bagi melancarkan proses pengkreditan bantuan.
Penerima yang layak juga disarankan menebus bantuan SKAS sebelum 20 Disember 2026.
Bagi pelaksanaan SKAS tahun ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM680 juta sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.





