MELAKA, 9 November: Kekeliruan berkaitan tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan Perintah Pelepasan melibatkan kes Datuk Seri Najib Tun Razak memerlukan penelitian lanjut bagi memastikan Jabatan Penjara memiliki autoriti jelas untuk melaksanakan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu penting bagi memastikan Jabatan Penjara, yang bertindak selaku agensi pelaksana, tidak menjurus ke arah situasi penahanan salah.
“Kami ini agensi pelaksana… perintah itu menyebut pelepasan sedangkan Lembaga Pengampunan kata tahanan rumah… tahanan rumah lain, pelepasan lain… jadi, kami nak pakai mana satu?… dokumen undang-undang, kalau ada kekeliruan, kita rujuk mahkamah.
“Kalau tahanan rumah, pihak penjara masih ada autoriti tetapi kalau pelepasan, penjara tak ada autoriti,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Jumaat lepas bahawa pelaksanaan tahanan rumah ke atas Najib ditangguhkan sehingga selesai penelitian dan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi selepas bayaran denda RM50 juta dilunaskan.
Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus dan Dialog Nelayan Bersama Dengan Menteri Dalam Negeri di Pangkalan Nelayan Lereh Tanjung Kling hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Muhammad Faiz Fadzil.
Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya istilah pelepasan itu kekal digunakan, ini bermakna Jabatan Penjara tidak lagi mempunyai sebarang autoriti terhadap hukuman yang dijalani Najib meskipun pewartaan kediamannya untuk menjalani tahanan di rumah telah dilakukan.
“Yang keluarkan perintah itu Pendaftar Mahkamah Tinggi… oleh itu, kita minta pandangan AGC dan seperti yang dijelaskan, hal ini akan dikemukakan di peringkat mahkamah untuk kita jernihkan dua tafsiran berbeza itu,” katanya.
Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai pihak yang akan membawa isu itu ke mahkamah dan bila perkara tersebut akan diputuskan.
“Namun, saya ingin tegaskan… ini berkaitan tafsiran sahaja… kita akur, hormat dan terima pemakluman perintah tahanan rumah terhadap Najib seperti yang terkandung di dalam surat yang diutuskan oleh Setiausaha Lembaga Pengampunan kepada Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
Sebelum ini, AGC memaklumkan bahawa sepanjang tempoh penangguhan itu, Najib kekal di tempat tahanan sedia ada tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.
Pada Jumaat lepas, Najib membayar denda RM50 juta, yang dikenakan terhadap beliau dalam kes penyelewengan dana SRC International, di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi. – Bernama





