PETRA JAYA, 8 November: Penganjuran Kuching BSX 1.0 2026 menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu sukan berbasikal BMX, khususnya dalam kalangan generasi muda di Sarawak.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, penganjuran pertandingan seumpama itu bukan sahaja menggalakkan penyertaan anak muda dalam sukan berkenaan, malah membantu membentuk disiplin, keyakinan diri, keberanian dan semangat juang.

Menurutnya, sukan BMX mampu memberi pengalaman berharga kepada peserta, selain membuka peluang kepada mereka untuk mengembangkan potensi dan meningkatkan prestasi dalam bidang sukan.
“Menang atau kalah bukanlah perkara utama dalam sesuatu pertandingan. Apa yang lebih penting ialah semangat kesukanan, disiplin, kesungguhan dan keberanian untuk terus mencuba serta memperbaiki diri.
“Setiap pertandingan memberikan pengalaman berharga kepada para peserta. Kejayaan tidak datang dalam sehari, sebaliknya memerlukan latihan berterusan, kesabaran dan semangat yang tidak mudah berputus asa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Kuching BSX 1.0 2026, di sini, hari ini.
Ahmad berkata, pembangunan sukan di peringkat akar umbi amat penting dalam melahirkan atlet berdaya saing, selain membentuk generasi muda yang sihat, berdisiplin dan mempunyai hala tuju positif.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak pertandingan seumpama itu dapat dianjurkan secara berterusan bagi memberi peluang kepada bakat muda untuk berkembang dan berpotensi mewakili Sarawak serta Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Berbasikal Bahagian Kuching (KDCA), pihak penganjur, ibu bapa, jurulatih dan sukarelawan atas sokongan serta komitmen dalam menjayakan pertandingan berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Luthfil Hasief Freddie daripada Frednor Cycling Club muncul juara kategori Terbuka Lelaki, diikuti Haziq Fathuddin Bashir di tempat kedua, manakala Yohannes Larenze Meahian dari Sematan Development menduduki tempat ketiga.
Kategori Terbuka Wanita pula menyaksikan Airis Nabihah Rais daripada Rais Racing muncul juara, diikuti Aimy Nazurah Rais di tempat kedua dan Sharifah Nur Aina Marissa Wan Ridzaudin dari GRBCC di tempat ketiga.
Bagi kategori Lelaki 12 Tahun dan Ke Bawah, Ahmad Zharif Ahza Ahmad Jumry daripada AJ BMX Racing meraih tempat pertama, diikuti Mohammad Danial Hafeez Halem dari Sematan Development dan Mohamad Armin Zaqie Mohamad Haizam dari SSC Development Miri.
Sementara itu, Wan Muhammad Zulfahmi Wan Ridzaudin daripada GRBCC menjuarai kategori Lelaki Remaja 15 Tahun dan Ke Bawah, manakala Ahmad Zafry Akhtar Ahmad Jumry dari AJ BMX Racing di tempat kedua dan Harith Dzulqarnain Ahmad dari SSC Development Miri di tempat ketiga.
Kategori Perempuan 12 Tahun dan Ke Bawah dimenangi Nur Aleeya Qalesya Zickry Azizan daripada Team Melango Baru, diikuti Auni Nur Qaisara Freddie dari Frednor Cycling Club dan Raysha Zenia Richard Parati Manahan.
Bagi kategori Veteran A, Richard Yii daripada BoyV Worx meraih gelaran juara, diikuti Mohamad Safrizal Saili dari Sarawak Eco Venture dan Mohd Azwan Yahya dari Juan Racing.
Kategori Veteran B pula menyaksikan Zafrin Shah Sabikin daripada BMX Freestyle Sarawak muncul juara, manakala Jorosman Johari dan Boy Kadri, kedua-duanya dari BoyV Worx, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Dalam kategori Basikal Imbangan Perempuan, Nur Qhalisha Zulaikha Iskandar meraih tempat pertama, diikuti Rayna Zafina Rayyan Parati Manahan dan Nur Khaliqa Mieqayla Mohammad Waffie.
Muzhaffar Mikhael pula muncul juara kategori Basikal Imbangan Lelaki, manakala Muhammad Luthfil Hafiey Freddie daripada Frednor Cycling Club di tempat kedua dan Mohamad Khabib Mohamad Haizam dari SSC Development Miri di tempat ketiga.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, peserta yang belum berjaya tidak seharusnya berputus asa, sebaliknya perlu terus berlatih dan memperbaiki kemampuan masing-masing.
“Anak-anak muda kita mempunyai potensi yang besar. Apa yang mereka perlukan ialah peluang, bimbingan dan sokongan berterusan daripada semua pihak,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud




