BELAGA: Seramai 326 pemilik lot menerima cek pampasan Jalan BRS Sungai Asap yang di bawah projek Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) pada Rabu lalu.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon yang diadakan di Dewan Lamin Adet Bangen Kimet Uma Baha Apau Koyan.
Difahamkan, hanya 100 penerima cek pampasan dijemput ke majlis itu bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) penularan pendamik Covid-19.
Menurut Chukpai, nilai keseluruhan pampasan jalan BRS Sungai Asap bagi Fasa 1 (Section A & B) pada kali itu adalah sebanyak RM774,463.46.
“Untuk makluman, jarak keseluruhan jalan lot pertanian di BRS Sungai Asap adalah 135 kilometer (km).
“Fasa 1 (Section A & B) ini adalah 51km dan Pakej Projek Rakyat yang sedang dalam pembinaan adalah 10km.
“Baki jalan lot ini (74km) akan dilaksanakan dalam Fasa 2 selepas Fasa 1 ini siap kelak dan kita harap pelaksanaan projek ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada semua agensi pelaksana yang sentiasa bertungkus-lumus memantau projek itu.
“Mari kita bersama mendoakan agar projek-projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Saya juga memohon kerjasama semua pihak khasnya pemilik-pemilik lot agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada para agensi, pihak konsultan dan kontraktor projek agar ia dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan dan keperluan pemilik-pemilik lot pertanian di BRS Sungai Asap,” ujarnya.
Turut hadir Pengarah Penubuhan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Joseph Belayong; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Micheal Mujah Lihan; Penguasa Tanah dan Survei Bahagaian Kapit, Sagu Unting dan Pegawai Tadbir Menguasa, Jackson Kong Chu Ing.