SIMANGGANG, 8 November: Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) terus mempergiat usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar menerusi penganjuran Program Inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan kerjasama Public Bank Sri Aman, semalam.
Menurut kenyataan MDSA, program berkenaan merupakan inisiatif bersama bagi meningkatkan kesedaran serta menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat terhadap penjagaan kebersihan persekitaran.
Program itu turut melibatkan penyertaan kakitangan Public Bank Sri Aman, Ahli-Ahli Majlis serta kakitangan MDSA yang bersama-sama menjayakan aktiviti sepanjang program berlangsung.
Antara pengisian utama ialah aktiviti senamrobik yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, selain aktiviti plogging walk yang menggabungkan senaman berjalan kaki dengan amalan mengutip sampah di kawasan sekitar.
Pendekatan santai tetapi berimpak itu bukan sahaja menggalakkan aktiviti fizikal, malah memberi peluang kepada peserta memainkan peranan secara langsung dalam memastikan persekitaran awam sentiasa bersih dan terpelihara.
Dalam usaha memperkukuh kempen kesedaran kebersihan, Public Bank Sri Aman turut menyumbangkan plak nasihat bertulis ‘Sila Buang Sampah di Tempat yang Betul’ untuk ditempatkan di lokasi bersesuaian.
Sumbangan berkenaan diharap dapat menjadi peringatan berterusan kepada orang ramai supaya lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam menguruskan sampah serta tidak membuang sisa merata-rata.
MDSA berharap mesej yang disampaikan menerusi program itu dapat diterjemahkan kepada amalan harian masyarakat, sekali gus membentuk budaya menjaga kebersihan sebagai tanggungjawab bersama.
Kerjasama antara MDSA dan Public Bank Sri Aman itu turut memperlihatkan kepentingan penglibatan sektor korporat dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan komuniti setempat.
Sehubungan itu, MDSA merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Public Bank Sri Aman atas inisiatif, sumbangan serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.
MDSA berharap lebih banyak program kolaborasi seumpama itu dapat dilaksanakan dan diperluaskan pada masa hadapan demi mewujudkan persekitaran Sri Aman yang lebih bersih, sihat, indah dan lestari.
Usaha menjaga kebersihan bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, sebaliknya memerlukan komitmen dan kesedaran seluruh lapisan masyarakat untuk memastikan keindahan Sri Aman terus terpelihara.
Oleh Adi Safarman




