PVTLDM mahu teroka pelancongan ketenteraan, buka peluang ekonomi veteran

Facebook
WhatsApp
TIONG (tiga kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada Syed Hamzah Wan Hamid Edruce sebagai Penasihat PVTLDM Cawangan Negeri Sarawak, disaksikan Khairil (dua kiri) dan yang lain.

SIBU, 8 November: Pengalaman dan kepakaran bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) boleh dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi baharu menerusi pembangunan sektor pelancongan ketenteraan.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), Komander Khairil Hariss Khairuddin berkata, pihaknya mencadangkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi meneroka potensi sektor berkenaan.

Menurutnya, sejarah ketenteraan, kapal perang, muzium maritim dan warisan kepahlawanan sudah menjadi produk pelancongan di banyak negara kerana mempunyai nilai sejarah, pendidikan serta ekonomi.

“Kami bukan sekadar mahu sejarah dikenang, tetapi mahu warisan ini terus hidup, memberi manfaat kepada masyarakat dan mencipta nilai kepada negara,” katanya ketika berucap pada Malam Warisan Samudera Gala Amal Veteran anjuran PVTLDM Cawangan Negeri Sarawak yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Khairil berkata Malaysia, khususnya Sarawak, mempunyai khazanah maritim yang berpotensi diketengahkan melalui keunikan budaya, warisan sungai dan identiti maritim negeri ini.

Sehubungan itu, beliau berharap MOTAC dapat bekerjasama dengan PVTLDM untuk membangunkan potensi berkenaan, sekali gus menyediakan ruang kepada veteran terus menyumbang dalam sektor pelancongan dan warisan maritim.

Dalam pada itu, Khairil berkata PVTLDM mempunyai hampir 12,000 ahli berdaftar menerusi 16 cawangan di seluruh negara, menjadikannya antara persatuan veteran terbesar mengikut perkhidmatan tunggal di Malaysia.

Katanya, kira-kira 60 peratus daripada ahli persatuan itu berusia antara 30 hingga 59 tahun, menunjukkan sebahagian besar veteran masih berada dalam lingkungan usia produktif.

“Justeru, pendekatan PVTLDM kini tidak lagi tertumpu kepada kebajikan tradisional semata-mata, sebaliknya mentakrifkan semula terma kebajikan kepada skop yang lebih luas dan bermakna.

“Bagi kumpulan 60 peratus yang masih bertenaga dan produktif ini, bentuk kebajikan terbaik adalah dengan menyediakan peluang kerjaya kedua serta peluang keusahawanan,” ujarnya.

Oleh Tarani Lanting