KUCHING, 8 November: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) mahu kerajaan negeri mempertimbangkan dasar perumahan lebih fleksibel serta mempergiat penerapan teknologi baharu bagi memastikan industri hartanah terus berkembang dan berdaya saing.
Presidennya, Dato Augustine CH Wong berkata, antara cadangan dikemukakan ialah memberi pilihan kepada pemaju untuk membangunkan projek perumahan mampu milik atau membayar levi yang ditetapkan, selain menyemak kaedah pengiraan levi berdasarkan zon bagi mengambil kira perbezaan kos tanah di setiap kawasan.
Katanya, pendekatan seragam dalam pelaksanaan levi perlu dinilai semula bagi memastikan bekalan rumah mampu milik dapat dikekalkan serta menyokong pembangunan ekonomi di seluruh Sarawak.
“Kami memohon agar kerajaan mempertimbangkan pemberian pilihan kepada pemaju sama ada membangunkan projek perumahan mampu milik atau membayar levi yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Kecemerlangan SHEDA ke-33 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.
Beliau turut meminta supaya cadangan SHEDA berkaitan peringkat pembayaran levi dinilai semula bagi memastikan pengurusan kewangan pemaju lebih teratur.
Selain itu, beliau menggesa kerajaan menyemak harga jualan dan syarat kelayakan pemohon bagi pembangunan perumahan mampu milik Sri Pertiwi supaya program itu terus berdaya maju dan memberi manfaat kepada lebih banyak keluarga.
Augustine berkata, SHEDA turut mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Persatuan Peguam Sarawak pada akhir Oktober lalu berhubung cadangan pindaan perundangan berkaitan penerimaan wang tempahan, pengiraan ganti rugi tertentu (LAD) dan penjualan hartanah selepas pengeluaran Permit Menduduki (OP).
Menurutnya, SHEDA juga telah mengemukakan pandangan tambahan berhubung cadangan bayaran kemajuan dan memohon satu lagi sesi perbincangan bagi memastikan kejelasan serta keseragaman pelaksanaan peruntukan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata SHEDA terus memperkukuh keupayaan ahlinya menerusi pelbagai inisiatif termasuk penubuhan SHEDA Institute, penganjuran persidangan SHEDA: Encore serta kerjasama dalam agenda pembangunan mampan.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur majlis, Dato Dr Sim Kiang Chiok berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI) berpotensi meningkatkan kecekapan industri hartanah, khususnya dalam perancangan pembangunan, pengurusan pembinaan, pengurangan pembaziran dan pemahaman terhadap keutamaan pembeli.
Katanya, pemain industri perlu menerima perubahan teknologi dan meninggalkan amalan lama bagi memastikan sektor itu mampu berkembang seiring aspirasi Sarawak menjadi ekonomi digital berpendapatan tinggi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa AI perlu dimanfaatkan sebagai pelengkap kepada kepakaran manusia dan bukannya menggantikan pengalaman, kreativiti serta pertimbangan profesional.
“AI boleh menjadikan masyarakat kita lebih berkeupayaan, bukannya menyebabkan mereka kehilangan peranan dan kuasa dalam industri,” ujarnya.
Beliau berkata, pembangunan hartanah bukan sekadar membina bangunan atau menjual rumah, sebaliknya turut melibatkan pembentukan komuniti, penyediaan peluang pekerjaan serta peningkatan taraf hidup masyarakat.

Pada majlis sama, Tan Sri Yee Ming Seng daripada Double Dynasty Group of Companies menerima SHEDA Lifetime Achievement Award 2026, manakala Elica Sdn Bhd dianugerahkan SHEDA CSR Leadership Award.
Turut menerima pengiktirafan ialah Kenbest Sdn Bhd menerusi projek Milano Eight, Chen Ling Development Sdn Bhd (Tower 33), Sendayan Properties Sdn Bhd (Royal Stampin Residence), Md-Kwang Tai Realty Sdn Bhd (Central City), Elements Space Group Sdn Bhd (Chimes), Sendayan Jaya Sdn Bhd (Aurora Square) dan Dinospec Technology Sdn Bhd (Taman Harmoni, Fasa 1).
Oleh Adele Rissa



