SARIKEI, 8 November: Tiga sekolah mubaligh menerima peruntukan berjumlah keseluruhan RM433,848 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan pendidikan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, bantuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan keperluan institusi pendidikan bukan Islam terus mendapat perhatian.
“Bantuan ini bertujuan memastikan prasarana sekolah bukan Islam dan institusi pendidikan terus terpelihara, demi keselesaan pelajar.
“Saya berharap pihak pengurusan sekolah tersebut dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang disalurkan bagi menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.
Beliau berkata demikian di majlis ringkas penyerahan cek bantuan UNIFOR kepada wakil pengurusan ketiga-tiga sekolah tersebut di Pusat Khidmat Parlimen Sarikei, baru-baru ini.
Sekolah yang menerima peruntukan tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist Anglo-Chinese, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Kwong dan SJKC Su Lee melalui lembaga pengurusan masing-masing.
Penyaluran bantuan tersebut membolehkan pihak pengurusan sekolah merancang kerja menaik taraf kemudahan mengikut keperluan institusi masing-masing, tertakluk kepada skop peruntukan yang diluluskan.
Katanya, sokongan terhadap pembangunan infrastruktur pendidikan perlu diteruskan bagi memastikan kemudahan sekolah berada dalam keadaan baik dan dapat dimanfaatkan oleh warga sekolah dalam jangka panjang.

Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan peruntukan secara berhemah supaya setiap bantuan yang disalurkan dapat memberikan manfaat kepada murid, guru serta keseluruhan komuniti sekolah.
Dalam pada itu, Huang merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan dan keprihatinan kerajaan negeri melalui UNIFOR dalam membantu institusi pendidikan bukan Islam.
Tambahnya, bantuan tersebut turut memperlihatkan perhatian kerajaan terhadap keperluan pembangunan prasarana sekolah mubaligh sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kemudahan pendidikan di Sarawak.
Oleh Earl Anek





