BINTANGOR, 8 November: Persatuan klan bukan sekadar wadah menghimpunkan masyarakat yang berkongsi nama keluarga, sebaliknya memainkan peranan penting dalam memastikan warisan budaya, nilai kekeluargaan dan semangat perpaduan terus diwarisi generasi muda.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, peranan persatuan seumpama itu semakin penting dalam menghubungkan generasi terdahulu dengan golongan muda supaya sejarah, asal-usul dan tradisi keluarga tidak dilupakan.
“Persatuan klan bukan sekadar menjadi platform untuk menghubungkan individu yang mempunyai nama keluarga yang sama, malah memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya, mengukuhkan perpaduan dan meneruskan tradisi kekeluargaan kepada generasi muda.
“Melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan, hubungan kekeluargaan dan persaudaraan dapat diperkukuhkan, di samping memberikan peluang kepada generasi muda untuk mengenali asal-usul, sejarah dan budaya keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Muhibah Persatuan, Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Anak-Anak Ahli Kali Ke-10 dan Jamuan Penghargaan dan Kesyukuran kepada Warga Emas 2026 anjuran Persatuan Klan Chen Meradong, malam tadi.
Ding turut mengucapkan tahniah kepada kepimpinan persatuan atas usaha menggabungkan pengiktirafan pendidikan, penghargaan warga emas dan pertemuan muhibah dalam satu majlis yang mencerminkan hubungan erat antara generasi.
Menyentuh Anugerah Kecemerlangan Akademik Anak-Anak Ahli Kali Ke-10, beliau menyifatkan inisiatif yang ditaja pasangan Ting Kui Tiong dan Wong Ai Hua tersebut sebagai galakan bermakna kepada pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
Katanya, pengiktirafan terhadap pencapaian akademik bukan sahaja menghargai usaha pelajar, malah mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap pembangunan modal insan yang bakal menyumbang kepada kemajuan Sarawak.
“Inisiatif tersebut merupakan satu usaha yang amat bermakna dalam memberikan pengiktirafan kepada pencapaian akademik anak-anak ahli, selain mencerminkan keprihatinan serta sokongan terhadap bidang pendidikan dan pembangunan generasi muda.
“Saya berharap agar pengiktirafan tersebut menjadi dorongan untuk mereka terus berusaha dengan lebih gigih, meningkatkan pencapaian akademik serta mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan golongan pelajar supaya menghargai peluang menuntut ilmu dan memanfaatkan pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh untuk memberi sumbangan kepada keluarga dan masyarakat.
Tambahnya, penghargaan kepada warga emas tidak seharusnya terbatas kepada majlis tertentu, sebaliknya perlu menjadi amalan berterusan dalam kehidupan bermasyarakat.
“Pengalaman, kebijaksanaan serta segala pengorbanan warga emas merupakan khazanah yang amat bernilai.
“Oleh itu, generasi muda perlu sentiasa menghormati golongan terdahulu dan meneruskan tradisi menghargai jasa serta sumbangan mereka dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap Persatuan Klan Chen Meradong terus memperluas kegiatan dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan kemasyarakatan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh ahli daripada pelbagai peringkat umur.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Klan Chen Meradong, Ting Kwong Hing; Pengerusi Pengelola, Ting Huong Wei; Pengerusi Persekutuan Persatuan Klan Chen Malaysia yang juga Penasihat Persekutuan Persatuan Klan Chen Sarawak dan Penasihat Persatuan Klan Chen Meradong, Dato’ Wira Ting Huong Mian; wakil Penaung Persatuan Klan Chen Meradong, Ting Chong Ching; Penasihat Persatuan Klan Chen Meradong, Kapitan Ting Kuok Teck; dan Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Chen Malaysia merangkap Pengerusi Biro Wanita Persekutuan Persatuan Chen Sarawak, Ting Hui Lin.
Oleh Earl Anek





