Arteta puji impak Madueke, Arsenal kukuh di puncak EPL

Facebook
WhatsApp
RAIH KEMENANGAN... Pengendali Arsenal dari Sepanyol, Mikel Arteta, memeluk pemain tengah England, Eberechi Eze, selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Arsenal dan Hull City di Stadium Emirates, London, pada malam tadi. — Foto AFP

LONDON, 8 November: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memuji komitmen dan kesungguhan Noni Madueke selepas pemain sayap England itu memainkan peranan penting dalam kemenangan tipis 1-0 ke atas Hull City, sekali gus membolehkan The Gunners melebarkan kelebihan kepada enam mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Madueke memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi susulan kecederaan Bukayo Saka sejak beberapa minggu lalu dan menjadi antara watak penting dalam jaringan tunggal Arsenal ketika perlawanan berbaki 18 minit.

Percubaannya gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Hull, Konstantinos Tzolakis, sebelum Martin Odegaard menyambar bola muntah untuk memastikan tiga mata menjadi milik tuan rumah.

Menurut Arteta, peningkatan prestasi Madueke merupakan hasil daripada disiplin serta kesungguhannya untuk memperbaiki tahap kecergasan walaupun tidak mendapat banyak peluang beraksi pada awal musim.

“Dia contoh yang sangat baik kepada pemain lain dalam pasukan kerana sebelum rehat antarabangsa pertama, dia tidak mendapat peluang bermain.

“Daripada pergi bercuti, dia memilih untuk ke Portugal dan mendapatkan seseorang untuk berlatih bersamanya bagi meningkatkan tahap kecergasan serta kondisi fizikal.

“Sebaik kembali, dia terus menemui rentak permainan. Kini, kita dapat melihat keyakinannya semakin meningkat, berani mencuba sesuatu dan melepasi pemain lawan.

“Dia juga memberikan impak dalam perlawanan menerusi jaringan dan bantuan gol. Kami amat gembira dengan perkembangannya,” kata Arteta.

Walaupun menguasai permainan, Arsenal sekali lagi memperlihatkan kelemahan dalam penyudah apabila hanya mampu menghasilkan satu gol daripada 21 percubaan sepanjang perlawanan.

Bagaimanapun, keteguhan benteng pertahanan membolehkan mereka mencatat rekod tanpa bolos buat kali ketujuh musim ini, selain meraih kemenangan kesembilan daripada 10 perlawanan liga.

Skuad kendalian Arteta turut mengekalkan momentum cemerlang dengan memenangi kesemua lima perlawanan liga sejak tewas kepada Brighton sebelum rehat antarabangsa lalu.

Pengendali dari Sepanyol itu berkata, para pemainnya wajar diberikan pujian atas konsistensi yang dipamerkan, terutama ketika mengharungi jadual perlawanan yang mencabar.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk memberikan pujian kepada pemain saya. Apa yang mereka lakukan bukan sahaja hari ini, malah sejak kembali daripada rehat antarabangsa, amat luar biasa mengambil kira perlawanan yang perlu diharungi.

“Kami terus mencipta peluang, tetapi hantaran terakhir tidak menjadi atau percubaan disekat pihak lawan.

“Kami memberitahu pemain ketika rehat separuh masa bahawa jika keadaan berterusan, perlawanan mungkin berlarutan sehingga tamat sebelum gol hadir, tetapi kami yakin peluang itu akhirnya akan tiba,” katanya.

Arteta bagaimanapun menegaskan bahawa Arsenal masih perlu meningkatkan ketajaman penyudah bagi memastikan penguasaan permainan dapat diterjemahkan kepada lebih banyak jaringan.

“Kami mempunyai beberapa detik permainan yang sangat baik, tetapi perlu memastikan peluang yang dicipta dapat diterjemahkan kepada jaringan.

“Itulah aspek yang perlu kami perbaiki,” katanya.— AFP