LEEDS, 7 November: Leeds mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Tottenham yang sedang berada dalam prestasi cemerlang pada aksi sebentar tadi, sekali gus menamatkan rentak tiga kemenangan berturut-turut pasukan pelawat itu selepas mendapat manfaat daripada keputusan kontroversi yang membolehkan Jayden Bogle terus beraksi susulan terjahan keras terhadap Mathys Tel.
Pemain gantian Noah Okafor muncul wira Leeds apabila menjaringkan gol kemenangan hampir sejurus selepas dimasukkan oleh ketua jurulatih Daniel Farke pada minit ke-77.
Pasukan tuan rumah memulakan perlawanan dengan baik, manakala Tottenham menarik nafas lega pada minit-minit awal apabila Video Bantuan Pengadil (VAR) memutuskan bahawa Mateus Fernandes tidak melakukan kesalahan bola terkena tangan di dalam kotak penalti.

Menjelang penghujung separuh masa pertama, pasukan pelawat mula menguasai permainan, namun peluang untuk menghasilkan jaringan agak terhad.
Leeds mendapat manfaat daripada satu keputusan kontroversi kira-kira 10 minit sebelum rehat apabila Bogle memijak buku lali Tel menggunakan stud kasutnya sehingga pemain sayap Tottenham itu terbaring kesakitan di atas padang.
Selepas semakan VAR yang mengambil masa agak lama, tiada tindakan diambil terhadap Bogle yang tidak dilayangkan kad kuning atas kekasaran itu. Tel bagaimanapun terpaksa meninggalkan padang beberapa minit kemudian dalam keadaan terhincut-hincut sebelum digantikan oleh Dominic Solanke.

Leeds memperoleh dua peluang keemasan pada awal babak kedua apabila tandukan Dominic Calvert-Lewin disekat oleh Solanke, sebelum Nico Elvedi gagal menyempurnakan peluang susulan apabila tandukannya tersasar.
Calvert-Lewin sekali lagi melancarkan serangan, namun memilih untuk menghantar bola kepada Ao Tanaka berbanding melepaskan rembatan sendiri, sebelum pemain antarabangsa Jepun itu melepaskan percubaan tinggi melepasi palang gol.
Leeds semakin menguasai permainan dan Antonin Kinsky terpaksa melakukan aksi menyelamat cemerlang bagi menafikan percubaan Sean Longstaff yang melakukan pusingan badan sebelum melepaskan rembatan.

Tekanan berterusan Leeds akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-79.
Harry Wilson, yang turut dimasukkan sebagai pemain gantian, mengawal bola sebelum menghantarnya ke laluan Okafor yang menyempurnakan peluang itu dengan baik tanpa memberi sebarang peluang kepada Kinsky untuk menyelamatkan percubaan berkenaan.
Tottenham hampir menyamakan kedudukan, namun penjaga gol Leeds, James Trafford, melakukan aksi menyelamat cemerlang untuk menafikan tandukan Jan Paul van Hecke.
Keputusan itu menamatkan rentak tiga kemenangan berturut-turut Tottenham dalam saingan liga, manakala kemenangan berkenaan merupakan yang pertama buat Leeds dalam enam perlawanan, sekali gus melonjakkan mereka ke tangga kelapan liga. – AFP




