WFL FC kuasai dua kategori Kejohanan Bola Sepak Remaja Petronas Bintulu

Facebook
WhatsApp
BARISAN pemain WFL FC U16 yang merangkul gelaran juara kategori Bawah 16 Tahun pada Kejohanan Bola Sepak Tertutup Remaja Petronas 2026 edisi Bintulu, hari ini.

BINTULU, 7 November: WFL FC muncul juara bagi kategori Bawah 14 Tahun (U14) dan Bawah 16 Tahun (U16) pada Kejohanan Bola Sepak Tertutup Remaja Petronas (PYFCT) 2026 edisi Bintulu yang melabuhkan tirainya hari ini.

Kejohanan yang berlangsung sejak 17 Oktober lalu itu menyaksikan penyertaan 18 pasukan, dengan masing-masing sembilan pasukan bersaing dalam kategori U14 dan U16 bagi merebut gelaran juara.

Kejayaan WFL FC mengungguli kedua-dua kategori itu sekali gus membuktikan keupayaan pasukan berkenaan dalam saingan bola sepak peringkat remaja.

BARISAN pemain WFL FC U14 yang menjuarai kategori Bawah 14 Tahun pada Kejohanan Bola Sepak Tertutup Remaja Petronas 2026 edisi Bintulu, hari ini.

Selain kejayaan berpasukan, pemain WFL FC bagi kategori U14, Federer Darydenco Saging Raymond, turut mencuri perhatian apabila dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dengan 13 gol sepanjang kejohanan.

WFL FC turut membawa pulang Anugerah Kesukanan bagi kedua-dua kategori U14 dan U16.

Penganjuran PYFCT merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Petronas dalam menyokong pembangunan belia serta memperkukuh pembinaan komuniti menerusi sukan.

RAKAM kenangan bersama para pemain bola sepak Tertutup Remaja Petronas 2026 pada majlis penutupan Kejohanan Bola Sepak Tertutup Remaja Petronas 2026 yang berlangsung di Padang Bola Sepak UPMS, hari ini.

Lebih menarik, dua pasukan terbaik bagi setiap kategori turut memperoleh peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara Bola Sepak Remaja Petronas 2026 yang dijadualkan berlangsung di Kuching dari 7 hingga 13 Disember ini.

Majlis penyampaian hadiah dan penutupan kejohanan disempurnakan oleh Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan, bersama-sama Pengurus Besar Enterprise Stakeholder Relations & Advisory, GSRC, Petronas, Zulaihi M. Mantali.

Oleh Faizah Muzidi