MIRI, 7 November: Rakyat Sarawak diingatkan supaya bukan sahaja bekerja keras untuk memenuhi tuntutan kerja , malah perlu mengutamakan penjagaan kesihatan bagi memastikan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kesihatan diri tidak boleh diabaikan kerana seseorang tidak akan mampu bekerja dengan baik sekiranya mengalami masalah kesihatan.
Menurutnya, masyarakat perlu bijak mengurus masa antara melaksanakan tanggungjawab pekerjaan dengan menjaga kesihatan demi menjamin masa depan yang lebih baik.
“Kalau kita memperuntukkan masa untuk bekerja, kita perlu bekerja kuat, tetapi kesihatan juga mesti dijaga. Kalau kita sakit, bagaimana kita hendak bekerja?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Permyjaya di sini hari ini.
Abang Johari turut mengingatkan rakyat supaya mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat bagi mengelakkan penyakit serta mengurangkan kebergantungan kepada rawatan dan ubat-ubatan yang memerlukan kos tinggi.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya prihatin dan membantu golongan yang berdepan masalah kesihatan, sambil menegaskan kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat yang menyumbang kepada penubuhan pusat dialisis berkenaan.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, pusat itu menerima sumbangan kira-kira RM8 juta setahun.
Oleh Liong Chai Ling





