SARIKEI, 7 November: Perpaduan masyarakat tidak seharusnya terhenti sebagai slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penglibatan aktif dalam program kemasyarakatan yang mampu mengeratkan hubungan antara penduduk pelbagai kaum dan generasi.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi merupakan antara pendekatan berkesan untuk memupuk persefahaman, kerjasama serta semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
Katanya, penyertaan 23 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam Program Gerak Kerja KRT Sihat: Sukan Perpaduan KRT Daerah Sarikei 2026 membuktikan bahawa aktiviti kemasyarakatan mampu menghimpunkan penduduk tanpa mengira latar belakang.
“Saya amat berbangga apabila melihat penyertaan daripada 23 KRT di Daerah Sarikei.
“Penyertaan yang melibatkan pelbagai kaum dan peringkat umur ini mencerminkan bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan aktiviti yang menyatukan masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang, berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penangguhan Program Gerak Kerja KRT Sihat: Sukan Perpaduan KRT Daerah Sarikei 2026 di Kompleks Sukan Sarikei, hari ini.
Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Sarikei bersama kepimpinan KRT Sarikei itu memasuki tahun keempat penganjurannya.
Len Talif berkata, kesinambungan program berkenaan mencerminkan komitmen kepimpinan dan anggota KRT dalam memperkukuh hubungan kejiranan serta membina komuniti yang harmoni.
Beliau turut menekankan bahawa semangat perpaduan perlu dipupuk melalui hubungan yang lebih bermakna, termasuk kesediaan penduduk untuk saling mengenali, memahami dan membantu antara satu sama lain.
“Inilah semangat yang perlu kita terus pupuk. Kita mahu melihat masyarakat yang bukan sahaja tinggal berjiran, tetapi benar-benar mengenali, memahami, membantu dan mengambil berat antara satu sama lain.
“Sesungguhnya, program seperti ini bukan sekadar menghimpunkan masyarakat untuk bersukan, tetapi turut menjadi platform penting bagi membina hubungan yang lebih erat, memupuk persefahaman dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengingatkan masyarakat supaya menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada amalan harian bagi mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasan.
Katanya, amalan bersukan secara konsisten bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan fizikal, malah memberi manfaat kepada kesihatan mental, mengurangkan tekanan serta membina keyakinan diri.
“Aktiviti berkumpulan juga mampu menggalakkan interaksi sosial antara golongan muda, dewasa dan warga emas, sekali gus merapatkan jurang antara generasi.
“Dalam kesibukan menjalankan tanggungjawab harian, kita kadangkala terlupa bahawa kesihatan merupakan aset yang sangat berharga.
“Oleh itu, aktiviti fizikal dan sukan perlu dijadikan sebahagian daripada rutin kehidupan kita, tanpa mengira usia dan latar belakang,” katanya.
Menyentuh peranan KRT, Len Talif berkata, organisasi itu tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti kejiranan dan keselamatan komuniti semata-mata, sebaliknya perlu menjadi penggerak kepada pelbagai inisiatif yang meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan setiap KRT supaya lebih kreatif dan proaktif dalam merancang program yang merangkumi sukan, rekreasi, kesihatan, kebudayaan serta kesukarelawanan mengikut keperluan masyarakat setempat.
“Janganlah kita melihat program ini sebagai pertandingan semata-mata, sebaliknya anggaplah ia sebagai ruang untuk membina persahabatan, bertukar pengalaman dan mempererat hubungan antara komuniti.
“Dalam semangat kesukanan, menang atau kalah bukanlah ukuran utama kejayaan. Kejayaan sebenar ialah apabila kita dapat menyertai program ini dengan penuh semangat, saling menghormati, menjaga keselamatan dan pulang dengan kenangan serta persahabatan yang lebih erat,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JPNIN Bahagian Sarikei, kepimpinan KRT, peserta dan semua pihak yang menjayakan program tersebut.
Len Talif berharap penganjuran tahunan itu terus menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang mengutamakan perpaduan, amalan hidup sihat dan kesejahteraan komuniti di Daerah Sarikei.
Oleh Earl Anek




