SIMANGGANG, 7 November: Penguasaan kemahiran digital dan teknikal terus diberi penekanan sebagai langkah memperkasakan masyarakat serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada golongan belia di kawasan Parlimen Sri Aman.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, penganjuran Bengkel Pemantapan Kemahiran Teknologi Maklumat (IT) dan Kursus Pemasangan serta Penyelenggaraan Penyaman Udara merupakan antara usaha meningkatkan kemahiran dan keupayaan peserta mengikut keperluan semasa.
Menurut beliau, Bengkel Kemahiran IT yang dianjurkan merupakan siri kelapan sejak diperkenalkan pada awal 2025, selain menjadi siri ketiga yang dilaksanakan dengan kerjasama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG).
“Bengkel berkenaan melibatkan seramai 24 peserta, manakala Kursus Pemasangan dan Penyelenggaraan Penyaman Udara pula merupakan siri pertama yang dilaksanakan melalui kerjasama tersebut.
“Lebih menarik, kursus penyaman udara itu merupakan Program Pensijilan CSTP yang menggabungkan pembelajaran teori dan latihan amali secara langsung (hands-on),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Pemantapan Kemahiran IT untuk Ketua-Ketua Komuniti Sri Aman serta Kursus Pemasangan dan Penyelenggaraan Penyaman Udara untuk belia Sri Aman, dekat sini semalam.
Doris berkata, peserta yang berjaya menamatkan latihan serta memenuhi syarat pensijilan akan diiktiraf sebagai Juruteknik Bertauliah (Certified Technician), sekali gus memberikan nilai tambah kepada kelayakan mereka dalam bidang teknikal.
Katanya, pengiktirafan itu bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran peserta dalam sektor pekerjaan, malah membuka ruang kepada mereka untuk menceburi bidang keusahawanan dan menawarkan perkhidmatan penyaman udara secara sendiri.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penguasaan kemahiran digital seperti Microsoft Word, Google Workspace, WhatsApp Web dan ChatGPT bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan oleh pemimpin di peringkat akar umbi.
“Masyarakat juga perlu sentiasa meningkatkan tahap celik digital dan menggunakan teknologi secara bijak, selain berwaspada terhadap ancaman penipuan dalam talian atau scam yang semakin membimbangkan,” katanya.
Program berkenaan merupakan hasil kerjasama Pusat Khidmat Rakyat P.202 Sri Aman, APPGM-SDG, Sarawak Skills Development Sri Aman serta Pejabat-Pejabat Daerah di kawasan Parlimen Sri Aman.
Penganjuran kedua-dua program itu memperlihatkan usaha berterusan memperluas akses latihan kemahiran kepada masyarakat, khususnya pemimpin komuniti dan golongan belia, agar mereka lebih bersedia menghadapi tuntutan dunia pekerjaan serta perkembangan teknologi semasa.
Oleh Adi Safarman




