LONG LAMA, 7 November: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan berpeluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan menerusi Program Jualan Agro Sarawakku Sayang yang berlangsung di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kee Tee, Long Lama, semalam.
Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Bahagian Miri dengan kerjasama Jabatan Pertanian Daerah Kecil Telang Usan itu bertujuan membantu meringankan perbelanjaan isi rumah, khususnya dalam mendapatkan barangan keperluan harian.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh penyandang kerusi DUN Telang Usan, Dato Dennis Ngau.
Beliau berkata, penganjuran program itu mencerminkan kerjasama baik antara FAMA dan Jabatan Pertanian Daerah Kecil Telang Usan dalam melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat menerusi konsep Malaysia MADANI.
Dalam pada itu, Dennis memaklumkan bahawa pihaknya telah menjemput Universiti Curtin untuk mengadakan kunjungan ke Long Lama pada 14 November ini bagi mempromosikan institusi pengajian tinggi berkenaan kepada masyarakat setempat.
Kunjungan itu akan diadakan sempena Program Komuniti Sihat dan Sejahtera Daerah Kecil Telang Usan 2026.
Program Jualan Agro Sarawakku Sayang turut dimeriahkan dengan aktiviti cabutan tiket bertuah yang diadakan dalam tiga sesi, iaitu pada 10.00 pagi, 11.00 pagi dan 12.00 tengah hari.
Turut hadir Pegawai FAMA Bahagian Miri, Rod Steward; Kapitan Michael Vun; Ketua Kaum Paul Paren; Pegawai Pertanian Daerah Kecil Telang Usan, Wargo serta beberapa kaunselor.
Oleh Jiku Juguong




