Kemenangan besar GPS hadiah kepada Abang Johari – Fadillah

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menyifatkan kemenangan besar GPS pada PRN Sarawak ke-13 sebagai hadiah paling berharga kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sebagai penghargaan terhadap usaha dan pengorbanan beliau membangunkan Sarawak.

PETRA JAYA, 7 November: Kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 disifatkan sebagai hadiah paling berharga kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sebagai penghargaan terhadap usaha dan pengorbanan beliau membangunkan wilayah ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, Abang Johari telah bekerja keras sepanjang empat tahun lalu, termasuk mengadakan lawatan ke luar negara dan seluruh negara bagi memastikan Sarawak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk melaksanakan pembangunan.

Menurutnya, usaha itu membolehkan kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi pelaksanaan projek infrastruktur seperti jalan raya serta menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat.

“Satu lagi sebab kita perlu menang besar adalah sebagai tanda penghargaan kepada Abang Johari atas kerja keras beliau selama empat tahun ini.

“Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan beliau, kita perlu memastikan kemenangan besar. Itulah hadiah paling berharga yang boleh kita berikan sebagai tanda penghargaan kepadanya,” katanya.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof bersama jentera PBB Zon Kuching pada Majlis Perasmian Program Sarawak Kita Empun 3.0, sebagai persiapan menghadapi PRN Sarawak ke-13.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawak Kita Empun 3.0 di PCC Demak, di sini.

Fadillah yang juga pemimpin kanan GPS berkata, gabungan itu menyasarkan kemenangan di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN kali ini.

Katanya, sasaran berkenaan termasuk memastikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempertahankan kesemua 47 kerusi yang ditandinginya dengan majoriti besar.

Menurutnya, kekuatan politik penting bagi membolehkan GPS terus menentukan agenda pembangunan Sarawak mengikut acuan sendiri serta memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.

Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya bekerja sebagai satu pasukan bersama parti komponen GPS bagi merealisasikan sasaran kemenangan besar pada 12 Disember ini.

Oleh Afiq Sallehi