SARIKEI, 7 November: Taman Rekreasi Sebangkoi berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan sukan berasaskan alam semula jadi di negeri ini apabila penganjuran sulung Sebangkoi MTB Jamboree 2026 berjaya menarik penyertaan 76 peserta dari lima negara.
Penganjur Sebangkoi MTB Jamboree 2026 berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan meskipun persiapan acara berbasikal lasak tersebut hanya mengambil masa kira-kira sebulan.
“Untuk makluman, ini merupakan penganjuran pertama acara basikal bukit di Taman Rekreasi Sebangkoi menggunakan konsep jambori, iaitu satu perhimpunan yang menghimpunkan peminat tegar sukan berbasikal bukit dari pelbagai tempat untuk berkongsi minat dan pengalaman.
“Walaupun persiapan hanya mengambil masa lebih kurang satu bulan, kita amat berbangga kerana berjaya menarik penyertaan seramai 76 peserta dari seluruh Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia, Brunei, Indonesia, Kanada dan Afrika Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas majlis penyerahan Kit Perlumbaan kepada Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh di lobi utama Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.
Dalam pada itu, Sebangkoi MTB Jamboree 2026 bakal bermula pada esok di Taman Rekreasi Sebangkoi.
Tambahnya, sebanyak enam kategori dipertandingkan bagi edisi sulung tersebut, iaitu Lelaki Terbuka, Wanita, Veteran, Master, Super Master dan Remaja, dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM11,650.
“Namun, objektif utama kita bukan sekadar menganjurkan pertandingan sukan, tetapi juga untuk mempromosikan Taman Rekreasi Sebangkoi sebagai destinasi pelancongan sukan di Sarawak,” katanya.
Katanya, laluan pertandingan sejauh 32 kilometer menawarkan pengalaman berbasikal yang menggabungkan cabaran fizikal dengan keindahan alam semula jadi kawasan Sebangkoi.
“Sepanjang laluan tersebut, peserta berpeluang menikmati kepelbagaian flora dan fauna, pemandangan gunung-ganang, kawasan hutan serta pengalaman menyeberangi sungai.
“Laluan turut merentasi beberapa kawasan rumah panjang, termasuk Rumah Sami, Rumah Udul, Rumah Juing dan Rumah Ubok, sekali gus memperkenalkan persekitaran komuniti luar bandar kepada peserta.
“Keunikan laluan tersebut menjadi antara tarikan yang boleh diketengahkan bagi membangunkan aktiviti pelancongan berasaskan sukan dan alam semula jadi,” katanya lagi.
Selain menjadi lokasi penganjuran aktiviti berbasikal, Taman Rekreasi Sebangkoi turut mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai destinasi rekreasi dan kawasan rehat serta rawat (R&R) kepada pengguna Lebuh Raya Pan Borneo (LPB).
“Kita juga melihat potensi Taman Rekreasi Sebangkoi untuk diketengahkan sebagai destinasi rekreasi dan persinggahan menarik atau R&R kepada pengguna LPB.
“Kita berharap penganjuran ini dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat, merancakkan ekonomi dan memperkenalkan keunikan kawasan Sebangkoi kepada lebih ramai pengunjung,” katanya.
Katanya, kehadiran peserta dan pengunjung melalui penganjuran acara itu diharap dapat membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat, di samping meningkatkan daya tarikan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan.
Sehubungan dengan itu, pihak penganjur berharap Sebangkoi MTB Jamboree dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan penambahbaikan dari segi penyertaan, kategori pertandingan dan aktiviti sampingan.
“Untuk tahun hadapan, kita berharap penganjuran ini dapat diteruskan dengan lebih banyak kategori, hadiah yang lebih menarik serta aktiviti sampingan yang mampu menarik lebih ramai peserta dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat supaya terus memberikan sokongan kepada pembangunan sukan tempatan serta bersama-sama mempromosikan dan memelihara keindahan Taman Rekreasi Sebangkoi.
“Marilah kita jadikan Sebangkoi bukan sekadar destinasi berbasikal, tetapi juga destinasi pelancongan alam semula jadi yang menjadi kebanggaan kita bersama,” ujarnya.
Oleh Earl Anek





