Aktiviti merentas hutan himpun hampir 100 Peserta

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang bersama peserta lain menyertai aktiviti merentas hutan anjuran Bintulu Hash House Harriers di Bintulu semalam.

BINTULU, 7 November: Sekitar 100 peserta menyertai aktiviti merentas hutan anjuran Bintulu Hash House Harriers di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua No. 2 di sini, semalam, yang turut menghimpunkan masyarakat pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.68 Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, aktiviti berkenaan bukan sahaja menjadi platform riadah, malah menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat menerusi kegiatan fizikal secara berkumpulan.

Menurutnya, Bintulu Hash House Harriers menganjurkan aktiviti itu setiap Jumaat pada 5.30 petang dengan lokasi berbeza dipilih bagi setiap sesi.

Beliau memberitahu, penyertaan peserta berusia 92 tahun yang masih mampu berlari sejauh tujuh hingga lapan kilometer menunjukkan aktiviti berkenaan terbuka kepada semua peringkat umur.

“Saya gembira dapat menyertai kumpulan Hash hari ini dan berjaya menamatkan laluan sejauh 1.5 kilometer walaupun ia agak mencabar bagi saya.

“Aktiviti ini bukan sekadar merentas hutan, tetapi turut melibatkan laluan mendaki bukit dan keadaan muka bumi yang mencabar,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Johnny Pang berkata, aktiviti seumpama itu wajar diperluas bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat tanpa mengira kaum dan agama menyertai kegiatan sukan serta rekreasi.

Beliau turut menyifatkan Bintulu Hash House Harriers mempunyai sistem penganjuran yang baik, dengan sesetengah ahlinya telah menyertai aktiviti berkenaan selama lebih 30 tahun.

Ujarnya, beliau berharap dapat menyertai aktiviti mingguan itu lagi sekiranya mempunyai kelapangan.