Doris sumbang dua unit penghawa dingin kepada Klinik Kesihatan Sri Aman

Facebook
WhatsApp
DATO’ Sri Doris Sophia Brodie menyampaikan sumbangan dua unit penghawa dingin kepada Klinik Kesihatan Sri Aman. Foto: Pusat Khidmat Parlimen Sri Aman

SIMANGGANG, 6 November: Kebajikan petugas kesihatan dan keselesaan persekitaran kerja terus menjadi perhatian Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie menerusi sumbangan dua unit penghawa dingin kepada Klinik Kesihatan Sri Aman.

Sumbangan tersebut diserahkan sendiri oleh Doris bersama kakitangan Pusat Khidmat Parlimen Sri Aman dalam satu sesi penyerahan yang berlangsung di premis klinik berkenaan, hari ini.

Menurut Doris, sumbangan itu bertujuan menggantikan dua unit penghawa dingin sedia ada yang telah rosak dan tidak lagi berfungsi.

Beliau berkata, kemudahan berkenaan amat diperlukan bagi memastikan persekitaran klinik kekal selesa dan kondusif, sekali gus membantu petugas kesihatan menjalankan tanggungjawab serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Katanya, keselesaan dan kebajikan petugas kesihatan juga perlu diberikan perhatian kerana mereka merupakan barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam memastikan keperluan kesihatan rakyat terus terpelihara.

“Semoga sumbangan ini dapat memberikan manfaat, meningkatkan keselesaan persekitaran kerja dan sedikit sebanyak membantu melancarkan urusan serta penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, sesi penyerahan berkenaan turut dihadiri Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr Teoh Wan Jool; Pegawai Perubatan Unit Primer/NCD, Dr Amin Shamsudin; Pegawai Perubatan Unit Kesihatan Ibu dan Anak, Dr Janariah Jangani; Pemangku Pegawai Perubatan Yang Menguasa, Dr Nurfaezah Delie serta Pengerusi Panel Pelawat Klinik Kesihatan, Wilson Entebang.

Sumbangan itu memperlihatkan keprihatinan terhadap keperluan kemudahan kesihatan setempat, khususnya dalam mewujudkan suasana kerja yang lebih selesa demi kelancaran penyampaian perkhidmatan kepada penduduk Sri Aman.

Oleh Adi Safarman