Exco baharu PMM komited perkukuh perpaduan dan kebajikan ahli

Facebook
WhatsApp
YANG Dipertua Persatuan Melanau Miri (PMM), Paul Druce

MIRI, 6 November:  Barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) baharu Persatuan Melanau Miri (PMM) bagi penggal 2026–2028 komited meneruskan perjuangan persatuan dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan, menjaga kebajikan ahli serta memelihara identiti dan warisan masyarakat Melanau.

Yang Dipertuanya, Paul Druce menerusi satu kenyataan hari ini berkata, barisan kepimpinan baharu akan meneruskan segala usaha, perancangan dan inisiatif yang dilaksanakan Exco terdahulu, selain menambah baik pengurusan serta gerak kerja persatuan mengikut keperluan semasa.

Menurutnya, antara keutamaan adalah memperkukuh kesatuan dalam kalangan ahli, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memberi perhatian terhadap kebajikan, di samping memelihara bahasa, budaya dan warisan Melanau.

Beliau berkata, penglibatan generasi muda dalam aktiviti persatuan juga akan terus digalakkan bagi memastikan kesinambungan organisasi.

Dalam aspek pembangunan, PMM turut merancang meneruskan Projek Kebun Komuniti dengan sokongan Kumpulan Rentas Parti Parlimen bagi Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG), selain melaksanakan projek gelanggang sukan pickleball menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Dalam perkembangan lain, Paul yang menghadiri Mesyuarat Khas Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak (PPMS) di Kuching pada 1 November lalu turut dipilih sebagai Exco PPMS.

Katanya, pelantikan itu diharap dapat memperkukuh hubungan dan kerjasama antara persatuan di peringkat negeri, selain membuka ruang untuk membawa pandangan serta kepentingan PMM ke platform lebih luas.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan Exco penggal 2023–2026 atas segala sumbangan dan khidmat bakti dalam membangunkan persatuan.

Paul menyeru semua ahli supaya terus memberikan sokongan dan bekerjasama dengan kepimpinan baharu demi memastikan kesinambungan serta kemajuan PMM.

“Kita tidak bermula dari kosong atau mengetepikan usaha yang telah dilaksanakan sebelum ini.

” Sebaliknya, kita berhasrat meneruskan segala inisiatif yang baik serta menambah baik perkara yang masih mempunyai ruang untuk dipertingkatkan.

“Kekuatan PMM bergantung pada kesatuan, sokongan dan penglibatan semua ahli. Kita mahu memastikan PMM terus menjadi platform untuk menjaga kebajikan, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memelihara identiti dan warisan Melanau,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling