KUALA LUMPUR, 6 November: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) tidak menolak kemungkinan pelarasan harga secara bersasar antara tiga hingga empat peratus bagi portfolio produk terpilih di Malaysia dan Thailand susulan peningkatan kos komoditi dan bahan mentah.
Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Tarang Gupta berkata kenaikan tiga hingga empat peratus itu merupakan purata indikatif berdasarkan pelarasan harga dilaksanakan sepanjang 12 hingga 15 bulan lepas, melibatkan jenama-jenama terpilih di kedua-dua pasaran tersebut.
“Kumpulan perlu mengambil kira harga komoditi termasuk gula, timah, dan tenaga, kesemuanya menunjukkan trend peningkatan. Sudah tentu, penetapan harga akan menjadi faktor penting. Namun, kami juga perlu memastikan jumlah jualan dan kepentingan pengguna tetap terpelihara,” katanya semasa sesi soal jawab dalam taklimat keputusan kewangan F&N bagi tahun kewangan 2026, di sini hari ini.
Keuntungan bersih F&N bagi tahun kewangan berakhir 30 September, 2026, susut kepada RM437.09 juta berbanding RM508.46 juta pada tahun sebelumnya, manakala hasil merosot kepada RM4.92 bilion daripada RM5.19 bilion, sebahagian besar penurunan ini disebabkan oleh cabaran dalam segmen Indochina serta kos permulaan yang lebih tinggi bagi pelaburan-pelaburan strategik syarikat itu.
Gupta berkata pergerakan kadar pertukaran mata wang asing turut menjadi faktor mempengaruhi kos serta prestasi kewangan konglomerat makanan dan minuman tersebut.
“Apabila ringgit Malaysia melemah, kos kami termasuk kos import akan meningkat. Sebaliknya, penurunan ringgit turut bermakna nilai pendapatan ditukar daripada Thailand dan Kemboja akan meningkat apabila ditukarkan kepada mata wang tempatan,” katanya.
Beliau berkata F&N tidak berhasrat untuk melaksanakan kenaikan harga secara menyeluruh, sebaliknya akan mengambil pendekatan bersasar berdasarkan keanjalan harga bagi setiap produk.
“Produk dijual kepada pelanggan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) seperti susu dalam tin adalah lebih sensitif terhadap harga kerana pelanggan memerlukan cita rasa dan jenama yang tepat serta perlu mengambil kira margin perniagaan mereka sendiri.
“Oleh itu, kami perlu menghormati perkara tersebut. Penetapan harga perlu diuji dan mungkin diselaraskan sedikit sekiranya harga komoditi terus meningkat. Bagaimanapun, kami juga perlu memastikan keuntungan mutlak terpelihara dan pertumbuhan terus dikekalkan,” katanya. – Bernama





