KPDN Sri Aman pantau pengedaran tujuh barang keperluan ke pedalaman

Facebook
WhatsApp
NAZIRAN terhadap POS di kawasan pengedaran Nanga Bawi dan Nanga Spaya baru-baru ini yang turut disertai Ketua Cawangan KPDN Sri Aman. Foto KPDN Cawangan Sri Aman

SRI AMAN, 6 November: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sri Aman terus memperkukuh pemantauan pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu (PBP) bagi memastikan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat bekalan barangan keperluan asas pada harga yang ditetapkan kerajaan.

Usaha itu dilaksanakan menerusi naziran terhadap pusat jualan (POS) di kawasan pengedaran Nanga Bawi dan Nanga Spaya baru-baru ini, yang turut disertai Ketua Cawangan KPDN Sri Aman.

Menurut KPDN Cawangan Sri Aman, naziran berkenaan bertujuan memastikan penduduk di kawasan pedalaman berpeluang mendapatkan tujuh jenis barangan keperluan bersubsidi dan barang kawalan pada harga yang ditetapkan kerajaan, setanding dengan harga di kawasan bandar.

Tujuh barangan berkenaan merangkumi beras putih (10 kilogram), gula putih bertapis kasar (satu kilogram), tepung gandum (850 gram dan satu kilogram), minyak masak sawit tulen (satu kilogram), gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram, petrol RON95 serta diesel.

Pelaksanaan program itu penting bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan penduduk di kawasan pedalaman, khususnya mereka yang berdepan cabaran jarak perjalanan dan kos pengangkutan untuk mendapatkan bekalan keperluan harian.

Dalam pada itu, KPDN Cawangan Sri Aman merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pengusaha pusat jualan yang terlibat atas kerjasama serta komitmen mereka sepanjang pelaksanaan naziran berkenaan.

Pemantauan berterusan itu diharap dapat memastikan kelancaran pengedaran bekalan, sekali gus membolehkan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman terus menikmati kemudahan mendapatkan barangan keperluan pada harga yang ditetapkan kerajaan.

Oleh Adi Safarman