Gereja Sacred Heart terima RM170,192 naik taraf parkir, sistem akustik

Facebook
WhatsApp
MICHAEL Kong menyerahkan cek peruntukan kepada Paderi Gereja Sacred Heart, Paul Hu, sambil disaksikan Sim Kiat Leng.

KUCHING, 6 November: Kawasan parkir dan sistem akustik Gereja Sacred Heart di Batu 7 akan dinaik taraf menerusi peruntukan RM170,192 di bawah Program Bantuan Pembinaan Institusi Keagamaan Bukan Islam (RIBI).

Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, peruntukan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu akan digunakan untuk membaiki serta menaik taraf kawasan parkir gereja dan menambah baik sistem akustiknya.

Menurutnya, bantuan berkenaan mencerminkan usaha kerajaan menyokong rumah ibadat bukan Islam serta memastikan kemudahan yang disediakan dapat memenuhi keperluan masyarakat setempat.

“Gereja Sacred Heart telah lama berkhidmat kepada masyarakat Katolik di kawasan Batu 7 dan sekitarnya. Kami berbesar hati dapat membantu gereja melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan yang amat diperlukan ini,” katanya.

Beliau berkata, gereja berkenaan menerima peruntukan RIBI buat kali kedua selepas sebelum ini memperoleh RM250,000 bagi pembinaan Pusat Immaculate Heart.

Kong berkata, rumah ibadat bukan sahaja berfungsi sebagai tempat menjalankan aktiviti keagamaan, malah turut menjadi pusat pertemuan dan sokongan kepada penduduk setempat.

“Kami berbesar hati dapat sekali lagi membantu Gereja Sacred Heart dan menyumbang kepada usaha meningkatkan kemudahannya.

“Kami akan terus melakukan apa yang termampu untuk membantu gereja ini meneruskan usaha murni serta khidmatnya kepada masyarakat,” katanya.

Oleh Connie Chieng