Jambatan Bandar Lawas pilihan reka bentuk Premier Sarawak dibuka kepada orang ramai

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika majlis pelancaran Jambatan Bandar Lawas hari ini.

LAWAS, 6 November: Jambatan Bandar Lawas yang menampilkan reka bentuk pilihan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kini dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jambatan sepanjang 642 meter yang dibina dengan kos sekitar RM149 juta itu menghubungkan kawasan seberang Sungai Lawas dengan pusat bandar Lawas.

Menurutnya, reka bentuk jambatan ikonik berkenaan dipilih sendiri oleh Premier Sarawak selepas tiga cadangan reka bentuk dikemukakan untuk pertimbangan beliau.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak yang telah memberikan sokongan dan dorongan terhadap pelaksanaan projek ini.

“Sebenarnya, kita telah mengemukakan tiga cadangan reka bentuk jambatan kepada Premier Sarawak dan beliau sendiri memilih reka bentuk yang dilaksanakan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jambatan Bandar Lawas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, pembinaan jambatan berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan Bandar Lawas, khususnya dalam memperkukuh jaringan jalan raya serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Katanya, jambatan itu juga akan dihubungkan dengan projek Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) dan Jalan Penghubung Sabah-Sarawak (SSLR), sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara Lawas dengan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata, pembangunan jaringan jalan raya tersebut dijangka memendekkan tempoh perjalanan darat serta memperkukuh hubungan pengangkutan antara Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan.

Dalam pada itu, Awang Tengah memaklumkan dua lagi jambatan utama akan dibina menerusi pakej projek NCH, iaitu Jambatan Batang Trusan dan Jambatan Kuala Lawas.

Pembinaan kedua-dua jambatan itu dijangka melengkapkan rangkaian jalan raya utama di utara Sarawak, sekali gus meningkatkan kemudahan perhubungan dan membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan.

Oleh Adeng Edrus