LAWAS, 6 November: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak menyambut baik pengumuman rasmi tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini dan menyatakan kesediaannya menghadapi pilihan raya berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS), khususnya PBB, telah lama membuat persediaan bagi menghadapi PRN kali ini.
“Ya, kita sudah cukup bersedia dan terima kasih kerana tarikh pilihan raya sudah ditetapkan. Saya berharap proses pilihan raya ini akan berjalan dalam keadaan selamat, harmoni dan lancar,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Jambatan Bandar Lawas di sini, hari ini.
Awang Tengah yang juga Timbalan Yang Dipertua PBB Sarawak berkata, parti itu telah membuat persediaan secukupnya, termasuk menggerakkan semua jentera bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
Beliau berkata momentum persediaan itu dijangka terus meningkat seiring dengan bermulanya tempoh kempen pilihan raya kelak.
Bagaimanapun, beliau berharap proses PRN Sarawak ke-13 dapat berlangsung dalam suasana selamat, harmoni dan lancar.
Beliau turut berharap semua rakyat mendapatkan maklumat yang sahih serta mengelakkan penyebaran perkara yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat di Sarawak.
Terdahulu, SPR menetapkan 28 November 2026 sebagai hari penamaan calon bagi PRN Sarawak ke-13.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun mengumumkan perkara itu pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas bagi urusan PRN Sarawak ke-13, hari ini.
Menurut jadual yang diumumkan, pengundian awal ditetapkan pada 8 Disember 2026, manakala hari mengundi pada 12 Disember 2026.
Penetapan tarikh berkenaan secara rasmi membuka fasa pelaksanaan PRN Sarawak ke-13 yang menyaksikan rakyat negeri ini bakal memilih wakil rakyat bagi 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
PRN kali ini diadakan susulan pembubaran DUN Sarawak ke-19 yang berkuat kuasa pada 26 Oktober lalu, sekali gus memberi laluan kepada proses pilihan raya bagi menentukan komposisi kerajaan negeri untuk penggal seterusnya.
Oleh Adeng Edrus




