MIRI, 6 November: Sarawak merekodkan purata lebih 60 kes kemalangan jalan raya setiap hari bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, dengan 293 kes daripadanya melibatkan kemalangan maut.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sebanyak 16,776 kes kemalangan direkodkan di seluruh negeri dalam tempoh berkenaan berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, statistik itu menunjukkan keselamatan jalan raya masih memerlukan perhatian serius, khususnya dari aspek pendidikan dan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.
Katanya, beberapa laluan di Miri turut dikenal pasti sebagai lokasi yang kerap berlaku kemalangan, antaranya Jalan Miri-Pujut-Lutong, Jalan Miri-Bintulu, Jalan Miri-Airport dan Jalan Pintasan Kuala Baram.
“Keselamatan jalan raya bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana setiap kemalangan boleh memberi kesan kepada mangsa dan keluarga, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kehilangan nyawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Sukan Lalu Lintas Sarawak Peringkat Bahagian Miri 2026 di Taman Lalu Lintas Miri, hari ini.
Menurut Lee, pendidikan keselamatan jalan raya perlu dipupuk sejak usia muda bagi membentuk pengguna jalan raya yang berdisiplin dan bertanggungjawab.
Katanya, Sukan Lalu Lintas Sarawak memberi peluang kepada murid mempelajari aspek keselamatan jalan raya secara praktikal, termasuk mengenali papan tanda, lampu isyarat, lintasan pejalan kaki dan persimpangan.
Beliau berharap peserta dapat mengamalkan pengetahuan yang diperoleh serta menjadi duta kecil keselamatan jalan raya dengan mengingatkan ahli keluarga supaya mematuhi peraturan ketika menggunakan jalan raya.
Katanya, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak, termasuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, mematuhi had laju dan memakai tali pinggang keledar.
Sukan Lalu Lintas Sarawak, yang dahulunya dikenali sebagai Sukan Lalu Lintas Shell, diperkenalkan pada 1963 menerusi kerjasama antara kerajaan Sarawak dengan Shell.
Oleh Liong Chai Ling




