Penganut Hindu sambut Deepavali Ahad ini

Facebook
WhatsApp
PENGANUT Hindu di seluruh negara bakal menyambut Deepavali Ahad ini dengan melaksanakan upacara keagamaan, menyalakan pelita serta berkumpul bersama keluarga, sekali gus meraikan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan dan cahaya mengatasi kegelapan.

KUALA LUMPUR, 6 November: Penganut Hindu di seluruh negara akan menyambut Deepavali pada 8 November dengan mengadakan upacara sembahyang, melakukan ritual keagamaan dan berkumpul bersama keluarga sempena perayaan Pesta Cahaya itu.

Deepavali yang juga dikenali sebagai Diwali, antara perayaan paling penting dalam kalendar masyarakat Hindu, melambangkan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan, cahaya mengatasi kegelapan serta pengetahuan mengatasi kejahilan.

Penyalaan pelita atau agal vilakku, antara tradisi utama perayaan ini yang menjadi lambang kepada penghapusan kegelapan serta meraikan harapan, nilai positif dan kemakmuran.

Presiden Hindudharma Maamandram Malaysia Rishi Kumar Vadivelu berkata Deepavali juga mengingatkan penganut Hindu supaya membuang sifat negatif seperti angkuh, iri hati dan ego.

Beliau berkata perkataan Deepavali berasal daripada bahasa Tamil, iaitu Deepam yang bermaksud pelita dan Avali yang bermaksud barisan atau susunan pelita.

Persiapan lazimnya bermula sehari sebelum Deepavali, iaitu pada 7 Nov apabila ahli keluarga mengadakan upacara sembahyang bagi menghormati dewa keluarga (Kula Deivam) serta memohon keberkatan.

“Pada pagi Deepavali, keluarga akan melaksanakan upacara tradisional Ganga Snanam, yang melibatkan menyapu minyak bijan pada kepala sebelum mandi, satu amalan yang dipercayai membawa keberkatan rohani,” katanya kepada Bernama.

Selepas upacara tersebut, ahli keluarga akan memakai pakaian baharu, memohon restu daripada ibu bapa dan mereka yang lebih tua, berdoa serta mengunjungi kuil sebelum pulang ke rumah untuk menikmati hidangan tradisional dan manisan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Kediaman turut dihiasi dengan pelita dan reka bentuk kolam yang berwarna-warni, manakala ahli keluarga menyediakan pelbagai juadah perayaan untuk dikongsi bersama tetamu.

Sementara itu, Presiden Hindu Sangam Malaysia Thanga Ganesan berkata Deepavali merupakan peristiwa penting untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memelihara tradisi budaya dan agama bagi generasi akan datang.

Beliau menggalakkan rakyat Malaysia untuk berkongsi kegembiraan perayaan ini bersama rakan-rakan daripada komuniti lain melalui amalan rumah terbuka dan majlis perhimpunan.

“Dalam negara Malaysia yang berbilang kaum, marilah kita bersama-sama berkongsi kegembiraan menyambut Deepavali dengan rakan-rakan Melayu, Cina dan masyarakat kaum lain. Melalui sikap saling menghormati, memahami dan bersatu padu, kita dapat terus memperkukuh keharmonian yang menjadikan negara kita unik,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MIC merangkap bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah dalam ucapan Deepavali beliau menyeru masyarakat India agar menjadikan perayaan itu sebagai kesempatan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, memupuk perpaduan serta menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.

Beliau turut menggesa kerajaan supaya memberikan lebih perhatian terhadap kebajikan, pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi masyarakat India, khususnya keluarga B40.

Murugiah berkata semangat Deepavali tidak seharusnya terbatas kepada sambutan perayaan semata-mata, sebaliknya perlu menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk berbuat baik, belas ihsan dan saling menghormati di samping memperkukuh keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.- Bernama