MARAH merupakan salah satu sifat semula jadi yang terdapat dalam diri setiap manusia. Perasaan ini boleh hadir apabila seseorang berhadapan dengan penghinaaan, kekecewaan, pengkhianatan, ketidakadilan atau sesuatu perkara yang tidak menepati kehendaknya.
Akan tetapi, Islam tidak melarang seseorang daripada mempunyai perasaan marah kerana ia merupakan sebahagian daripada fitrah manusia. Sebaliknya Islam mendidik umatnya supaya mengawal kemarahan agar tidak bertindak melampaui batas sehingga menyakiti orang lain.
Hal ini demikian kerana amarah yang tidak dibendung mampu menjadi punca segala kejahatan, termasuklah pertikaian, kebencian, tohmahan, serta renggangnya ikatan persaudaraan.
Abu Hurairah RA meriwayatkan hadis yang bermaksud: “Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.” (Riwayat Bukhari)
Dalam kehidupan seharian, terdapat segelintir individu yang cenderung menghamburkan kata-kata nista apabila berang, membentak pasangan, memperlekeh ahli keluarga atau mengguris perasaan orang lain tanpa memikirkan impaknya.
Lebih membimbangkan, sesetengah individu menjadikan kemarahan sebagai tiket untuk menghalalkan tindakan buruk mereka. Sedangkan setiap perkataan bahkan tindakan manusia berada dalam pengetahuan Allah SWT.
Oleh itu, setiap Muslim perlu menyedari bahawa mengawal amarah bukan sekadar menjaga hubungan sesama manusia, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha memelihara iman dan takwa.
Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Sampaikanlah pesan kepadaku”, Baginda menjawab: “Jangan marah”. Kemudian lelaki tersebut mengulangi perkataannya. Nabi SAW tetap berkata: “Jangan marah.” (Riwayat Bukhari)
Menahan Amarah, Memelihara Pahala Dan Keimanan
Allah SWT menjelaskan ciri-ciri orang yang bertakwa dalam Surah Ali-Imran ayat 134 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah SWT mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Ayat ini menunjukkan bahawa menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain merupakan antara sifat mulia yang dicintai Allah SWT.
Apa yang mengagumkan, Allah SWT tidak sekadar menyanjung jiwa yang mampu menahan kemarahan, malah turut mengangkat martabat mereka yang sanggup memaafkan orang lain.
Ini membuktikan bahawa kekuatan seorang Muslim bukan hanya terletak pada kemampuan melakukan ibadah, tetapi juga pada keupayaannya menjaga akhlak ketika berhadapan dengan ujian manusia.
Menahan amarah bukan bermaksud seseorang perlu membiarkan dirinya terus dizalimi, sebaliknya dia perlu mengawal tindak balas supaya dapat menyelesaikan setiap masalah dengan cara yang bijaksana.
Diriwayatkan daripada “Atiyyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan syaitan diciptakan daripada api neraka, dan api akan dipadam dengan air. Maka, jika salah seorang daripada kamu marah hendaklah berwuduk.” (Riwayat Abu Daud)
Kemarahan yang tidak terkawal boleh menyebabkan pahala amalan seseorang terjejas apabila dia menyakiti serta menzalimi seseorang.
Sebagai contoh, seseorang mungkin rajin mendirikan solat, berpuasa dan melakukan sedekah, tetapi dalam masa yang sama sering memfitnah atau menganiaya orang melalui perkataan dan perbuatannya.
Rasulullah SAW pernah menjelaskan tentang orang yang muflis pada hari akhirat, iaitu individu yang datang membawa pahala solat, puasa dan zakat, tetapi pernah mencela, menuduh, memakan harta, menumpahkan darah serta memukul orang lain.
Akhirnya pahala amalannya diberikan kepada mereka yang dizalimi. Peristiwa ini mengingatkan kita bahawa ibadah tidak boleh dipisahkan dengan akhlak. Jangan sampai amalan yang dikumpulkan bertahun-tahun menjadi sia-sia akibat kegagalan menjaga lidah dan mengawal kemarahan.
Ketinggian ilmu Saidina Abu Bakar RA

SAIDINA Abu Bakar adalah sahabat yang paling kerap berada di sisi Rasulullah SAW. Beliau adalah antara orang yang paling awal memeluk Islam. Setelah memeluk Islam, beliau menjadi pendamping Rasulullah SAW.
Oleh itu, beliau berada bersama Rasulullah SAW pada waktu pagi, petang dan malam. Beliau juga menjadi tempat Rasulullah SAW melakukan perbincangan dalam setiap masalah yang dihadapi.
Beliau selalu menjadi orang yang terawal mendapat ilmu daripada wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Dengan sebab itu, beliau adalah orang yang paling faham tentang agama dari kalangan para sahabat. Tidak ada sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lebih faqih dari beliau.
Maka tidak hairanlah mengapa Rasulullah SAW melantik Saidina Abu Bakar untuk memimpin jemaah haji yang pertama dari Madinah dan baginda mengamanahkan kepada Saidina Abu Bakar untuk mengajarkan cara-cara haji mengikut sunnah (manasik haji) kepada para sahabat.
Jika Saidina Abu Bakar tidak memiliki ilmu yang tinggi, mustahil Rasulullah SAW akan memberikan amanah yang besar tersebut kepada beliau.
Selain itu, ketika Rasulullah SAW baginda sedang sakit, memerintahkan agar Saidina Abu Bakar untuk mengimamkan solat jemaah kaum muslimin. Tidak ada lagi yang lebih layak untuk menjadi imam di sisi Rasulullah SAW selain Saidina Abu Bakar.
Ibn Umar pernah ditanya, “Siapakah yang memberi fatwa di zaman Rasulullah SAW?” Beliau menjawab,”Abu Bakar dan Umar, setahu aku, tidak ada lagi orang yang lain selain dari mereka”.
Saidina Abu Bakar pernah mengadili dan memberi fatwa di dalam masalah harta rampasan Abu Qatadah di Hunain, sedangkan Rasulullah SAW berada di hadapannya. Kedudukan dan keistimewaan ini hanya dimiliki oleh Saidina Abu Bakar.
Setelah Rasulullah SAW yang pada mulanya memeluk Islam enggan untuk membayar zakat. Oleh yang demikian, Saidina Abu Bakar mahu mengambil tindakan yang keras iaitu dengan memerangi mereka. Beliau berkata, “Demi Allah SWT , aku akan memerangi orang yang memisahkan antara kewajiban solat dan zakat.
Sesungguhnya zakat adalah haknya harta. Demi Allah SWT, jika mereka enggan membayarkan seutas tali pengikat unta yang sebelumnya mereka tunaikan di masa Rasulullah SAW, nescaya akan aku perangi mereka kerana keengganan tersebut. wafat, sekelompok manusia.
Para sahabat pada mulanya tidak memahami mengapa Saidina Abu Bakar perlu mengambil tindakan sebegitu keras sehingga ke tahap melancarkan perang. Sedangkan mereka masih Islam.
Namun Saidina Abu Bakar telah membentangkan hujah-hujahnya yang disertai dengan dalil-dalil yang kuat. Hujah Saidina Abu Bakar itu dikagumi oleh para sahabat yang mendengarnya sehingga semua para sahabat yakin bahawa tindakan yang paling tepat untuk menghadapi golongan yang enggan menunaikan zakat ini ialah dengan melancarkan perang.
Walaupun Saidina Abu Bakar memiliki ilmu yang paling tinggi dari kalangan para sahabat dan beliau juga merupakan orang yang paling kerap berada di samping Rasulullah SAW, namun hadith-hadith yang diriwayatkan oleh beliau tidaklah terlalu banyak. Jumlah hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakar ialah sekitar 142 buah hadith.
Beliau tidak banyak meriwayatkan hadith-hadith dari Rasulullah SAW kerana kesibukannya tatkala menjawat jawatan khalifah. Di samping itu, waktu beliau wafat dengan Rasulullah SAW tidak terlalu jauh iaitu sekitar dua tahun lebih sahaja.
Antara para sahabat yang meriwayatkan hadith dari Saidina Abu Bakar ialah Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali, Abdur Rahman bin Auf, Abdullah ibn Mas’ud, Abdullah ibn Umar, Abdullah ibn Amr, Ibnu Abbas, Hudzaifah dan anak-anaknya iaitu Saidatina Aisyah dan Abdur Rahman.
Hanzalah Azman





