Pengawasan manusia, tanggungjawab editorial asas penggunaan AI dalam media

Facebook
WhatsApp
TEKNOLOGI AI… Ilustrasi penggunaan AI dalam bilik berita bagi membantu tugasan kewartawanan seperti transkripsi, carian arkib dan analisis data, dengan keputusan editorial kekal di bawah kawalan manusia.

BEIJING, 5 November: Organisasi media perlu memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sentiasa dalam pengawasan manusia dan tanggungjawab editorial, di samping menangani isu pemilikan serta kawalan terhadap teknologi itu, menurut pemimpin industri media.

Mereka berkata kemajuan pesat AI membuka peluang besar untuk mentransformasikan bidang kewartawanan dan penyebaran maklumat, namun isu pemilikan data, infrastruktur digital serta kawalan pengedaran kandungan perlu ditangani bagi memastikan manfaat teknologi itu dapat dinikmati secara saksama.

Pengarah Urusan Press Association Academy Brigid Nzekwu berkata AI seharusnya digunakan untuk membantu wartawan dan meningkatkan mutu kerja mereka, bukannya menggantikan peranan golongan itu.

Beliau berkata Press Association, agensi berita nasional bagi United Kingdom dan Ireland, menetapkan garis panduan yang jelas berhubung penggunaan AI, termasuk dasar tidak membenarkan teknologi itu digunakan untuk menghasilkan kandungan berita.

“Kami menggunakan AI untuk tugasan seperti transkripsi, mempercepat carian bahan arkib dan meneliti set data berskala besar,” katanya pada Forum Kecerdasan Buatan dan Pemodenan China yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Media Dunia (WMS) Ke-7 di sini hari ini.

Nzekwu berkata wartawan, jurugambar dan wartawan video perlu terus membuat liputan di lapangan, mendapatkan fakta serta membuat pertimbangan editorial bagi memastikan laporan yang dihasilkan tepat dan berasaskan maklumat daripada sumber pertama.

Beliau turut menekankan kepentingan sumber maklumat yang sahih dan ketelusan asal usulnya, terutama ketika enjin carian, media sosial dan AI mengubah landskap pencarian serta penyebaran maklumat.

Sementara itu, Pengerusi Polish Media Association Marek Traczyk berkata kredibiliti kekal sebagai aset paling penting organisasi media yang perlu memastikan setiap maklumat disahkan kesahihannya sebelum diterbitkan.

Beliau berkata penyebaran maklumat yang semakin pantas menyukarkan orang ramai membezakan antara laporan berita sahih dengan kandungan mengelirukan atau dimanipulasi.

“Semua pihak boleh menyebarkan maklumat, tetapi siapa yang bertanggungjawab? Kita, organisasi media bertanggungjawab sepenuhnya untuk menganalisis kandungan yang kita hasilkan sebagai berita,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Rakan Kongsi MVP Management Mexico Diego Bolson Ruzzarin berkata isu pemilikan AI perlu dibincangkan secara lebih menyeluruh, merangkumi bukan sahaja akses kepada teknologi itu, tetapi juga kawalan terhadap infrastruktur dan sumber diperlukan untuk membangunkan serta mengoperasikannya.

Beliau berkata sumber itu termasuk ketersambungan internet, pusat data dan paling penting, data yang dihasilkan manusia untuk melatih model AI.

Ruzzarin turut mengingatkan pemilikan platform digital dan algoritma boleh menentukan pihak yang mendapat ruang untuk menyuarakan pandangan, meskipun akses kepada telefon pintar dan kemudahan komunikasi digital semakin meluas.

Beliau berkata penghasilan kandungan masih boleh disekat menerusi algoritma yang dikawal oleh platform, sekali gus menunjukkan perlunya penelitian lebih menyeluruh terhadap aspek pemilikan dan kawalan komunikasi digital

“Kita membentuk alat untuk mengubah realiti, namun teknologi yang dicipta turut membentuk diri kita semula…bukan kesedaran yang menentukan kewujudan sosial, sebaliknya kewujudan sosial yang menentukan kesedaran,” katanya

WMS Ke-7 yang bermula hari ini menghimpunkan hampir 500 perwakilan dari 112 negara dan wilayah bagi memperkukuh kerjasama media antarabangsa serta meneroka kesan AI terhadap landskap media global.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diwakili Pengerusinya Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.- Bernama