Ibu kepada exco Pahang Mohamad Nizar meninggal dunia

Facebook
WhatsApp

KUANTAN, 5 November: Ibu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, 70, meninggal dunia hari ini.

Berita duka itu dikongsikan Mohamad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.

“Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan pemergian bonda tercinta, Allahyarhamah Tengku Puteri Zainah,” menurut hantaran itu. 

Anak sulung bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut menzahirkan penghargaan atas kasih sayang, pengorbanan dan doa ibunya. 

“Tiada apa yang mampu membalas segala jasamu. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa, merahmati dan menempatkanmu dalam kalangan penghuni syurga Firdaus.

“Bonda tetap hidup dalam doa dan ingatan anakanda selamanya. Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.

Sebelum ini, Tengku Puteri Zainah dilaporkan kritikal dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di ibu negara. – Bernama