Sarawak kekalkan 62 peratus kawasan hutan, tanam 65 juta pokok

Facebook
WhatsApp
SIMBOLIK… Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan melakukan simbolik perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Sarawak 2026.

KUCHING, 5 November: Sarawak berjaya mengekalkan kawasan hutan seluas 7.64 juta hektar, bersamaan 62 peratus daripada keseluruhan keluasan wilayah negeri ini, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara kelestarian alam sekitar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pencapaian itu hasil pengurusan hutan yang dilaksanakan secara berterusan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, Sarawak turut mewartakan 71 kawasan perlindungan sepenuhnya (Totally Protected Areas) dengan keluasan 870,000 hektar di kawasan daratan bagi melindungi hutan, habitat hidupan liar dan biodiversiti.

Selain itu, Sarawak berjaya menanam 65 juta pokok menerusi program Penghijauan Sarawak 2021 hingga 2026, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 35 juta pokok.

Menurutnya, usaha penanaman pokok itu akan diteruskan dengan sasaran tambahan sebanyak 50 juta pokok menjelang 2030.

RAKAM KENANGAN… Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan rakam kenangan pada majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Sarawak 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Sarawak 2026, di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.

Awang Tengah berkata, perubahan iklim, pemanasan global, penebangan hutan, pencemaran dan kehilangan biodiversiti merupakan antara cabaran yang semakin memberi kesan kepada kehidupan masyarakat serta kualiti hidup di seluruh dunia.

“Kita perlu mengakui bahawa sumber semula jadi bukanlah sesuatu yang tidak terbatas. Apa yang kita ambil daripada alam perlu diuruskan secara bertanggungjawab dan apa yang kita rosakkan perlu dipulihkan sedaya mungkin,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak meletakkan kelestarian alam sekitar sebagai salah satu tonggak pembangunan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Sarawak 2030

Katanya, pendekatan itu memberi penekanan kepada pengurusan sumber asli secara bertanggungjawab, penggunaan tenaga bersih, pemeliharaan biodiversiti dan kawalan pencemaran.

Sarawak juga komited untuk mencapai sasaran pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2050 menerusi tindakan bersama kerajaan, sektor industri dan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha serta pencapaian Sarawak dalam pemeliharaan alam sekitar perlu disampaikan dengan lebih meluas kepada masyarakat antarabangsa.

Menurutnya, walaupun pelbagai kejayaan telah dicapai dalam program pemuliharaan dan pengurusan hutan, masih terdapat tanggapan di luar negara bahawa Sarawak tidak melakukan usaha secukupnya untuk melindungi kawasan hutannya.

Sehubungan itu, beliau berharap kementerian berkaitan di peringkat Persekutuan dapat membantu mempromosikan usaha dan pencapaian Sarawak dalam bidang berkenaan.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah kerana perbuatan itu boleh menjejaskan hidupan akuatik dan sumber pendapatan masyarakat.

Katanya, amalan mengurangkan penggunaan plastik, mengasingkan sisa untuk dikitar semula, mengelakkan pembakaran terbuka serta menjimatkan penggunaan elektrik perlu diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Kesedaran mesti bermula daripada anak-anak kita. Selain mereka sedar tentang kepentingan alam sekitar, janganlah jadikan sungai seperti tong sampah,” katanya.

Awang Tengah berkata, tanggungjawab memelihara alam sekitar perlu dipikul bersama dan tidak boleh diserahkan kepada kerajaan semata-mata.

Beliau berharap usaha berterusan itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat untuk memastikan Sarawak kekal sebagai sebuah wilayah yang hijau, bersih, sihat dan makmur.

Oleh Shikin Mahmud