ISTANBUL, 5 November: Gergasi teknologi China, Tencent pada Rabu melancarkan model kecerdasan buatan (AI) baharu dikenali sebagai Hy4, dilengkapi ciri perlindungan bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan dalam serangan siber dan penyelidikan biologi yang berpotensi mendatangkan bahaya, lapor Anadolu Ajansi.
Syarikat yang berpangkalan di Shenzhen dan terkenal sebagai pembangun aplikasi pemesejan popular WeChat itu memaklumkan bahawa model berkenaan dilatih menggunakan data keselamatan siber yang memfokuskan kepada tugas pertahanan seperti mengenal pasti dan membaiki kelemahan perisian, tanpa melibatkan bahan berkaitan eksploitasi kelemahan sistem untuk tujuan serangan.
Menurut Tencent, penilaian keselamatan yang dijalankan oleh pasukan penyelidikan dalamannya tidak menemukan sebarang kebimbangan ketara mengenai keupayaan model itu untuk membantu melancarkan serangan siber dalam aspek yang diuji.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa Hy4 menunjukkan penguasaan pengetahuan biologi yang tinggi, namun mempunyai keupayaan lebih terhad dalam mereka bentuk eksperimen terbuka berbanding beberapa model AI paling canggih.
Selain ciri keselamatannya, Hy4 mampu menganalisis imej, mentafsir carta kompleks, menulis kod komputer dan melaksanakan tugasan menggunakan antara muka perisian, menurut Tencent.
Model berkenaan kini tersedia menerusi beberapa aplikasi pengkomputeran awan dan aplikasi tempat kerja, dengan perancangan untuk mengeluarkan pemberat model asas serta dokumentasi teknikal dalam beberapa hari akan datang.
Hy4 merupakan tambahan kepada rangkaian model AI Tencent yang semakin berkembang, susulan pelancaran versi pratonton pada Ogos.
Model baharu berkenaan menawarkan peningkatan prestasi dalam beberapa bidang termasuk analisis kewangan, penyelidikan saintifik dan pembangunan perisian, menurut syarikat itu. – Bernama-Anadolu




